suria

Pemandu lori ke tali gantung kerana edar kanabis

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar kanabis seberat 511 gram di hadapan lif sebuah flat di Ampang dekat sini, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati tertuduh, Mohd Shuzairil Shamsuddin, 40, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah di bawah tuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Setelah meneliti keterangan semua saksi, saya berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan cuma ada satu hukuman iaitu hukuman mati. Oleh itu, tertuduh disabitkan dengan kesalahan dan dihukum gantung sampai mati," katanya.

Tertuduh yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tenang sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Mohd Shuzairil didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif Tingkat 1, Blok A, Flat Sri Nilam, Bandar Baru Ampang, kirakira pukul 7.50 malam pada 3 Julai 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin hadir menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara tertuduh diwakili peguam V.Jayamurugan.

Sepanjang perbicaraan, seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pihak pembelaan mengemukakan dua orang saksi. BERNAMA

Artikel Lain