suria

KENYATAAN MEDIA PM MENGENAI LIBERALISASI SEKTOR KEWANGAN

KENYATAAN MEDIA PERDANA MENTERI, DATUK SERI MOHD. NAJIB TUN RAZAK MENGENAI LIBERALISASI SEKTOR KEWANGAN

Berikutan pengumuman minggu lepas mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan, pada hari ini, saya ingin pula mengumumkan langkah liberalisasi untuk sektor perkhidmatan kewangan. Sektor perkhidmatan kewangan merupakan komponen penting dalam ekonomi dan sumbangannya telah meningkat daripada 9.2% pada tahun 2000 kepada 11% pada tahun 2008. Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, sektor kewangan dan insurans telah berkembang sebanyak 8.8% setahun, mengatasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar sebanyak 6%.

Terdapat lebih daripada 140,000 pekerja dalam sektor perbankan dan insurans di Malaysia.

2. Melangkah ke hadapan, sektor kewangan dijangka menjadi pendorong dan pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih penting dalam peralihan Malaysia ke arah mencapai status ekonomi maju pada tahun 2020. Sektor kewangan dijangka memenuhi tuntutan ekonomi yang semakin bertambah dan memacu perubahan ekonomi ke fasa pembangunan seterusnya; menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan bertaraf dunia, yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi pada harga yang kompetitif; dan mempercepat pertumbuhan sektor ekonomi baharu termasuk aktiviti-aktiviti lain dalam sektor perkhidmatan.

3. Dalam menyediakan sektor kewangan untuk memenuhi kesemua matlamat ini, langkah-langkah liberalisasi yang diumumkan hari ini bertujuan untuk:

- Meningkatkan lagi hubungan Malaysia dengan ekonomi antarabangsa dan menggalakkan peningkatan integrasi ekonomi serantau;

- Menyediakan akses kepada lebih banyak produk dan perkhidmatan kewangan bertaraf dunia untuk para peniaga dan pengguna;

- Memperkukuh daya saing Malaysia dalam bidang kewangan Islam untuk menjadi hab kewangan Islam antarabangsa; dan

- Mempromosikan Malaysia sebagai peneraju pusat perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar (shared services and outsourcing, SSO) global.

4. Langkah-langkah liberalisasi ini, yang akan dilaksanakan dari tahun 2009 hingga tahun 2012, adalah sejajar dengan inisiatif Kerajaan untuk menggalakkan perubahan struktur dalam ekonomi dan mempelbagaikan sumber pertumbuhan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

5. Teras pakej liberalisasi bagi sektor kewangan merangkumi:

- Pengeluaran lesen baharu kepada peserta industri kewangan yang kukuh dan bertaraf dunia dalam kategori seperti berikut:-

i. Dalam tahun 2009, sehingga dua lesen perbankan Islam baharu kepada peserta asing untuk menubuhan bank-bank Islam baharu dengan modal berbayar sekurang-kurangnya USD1 bilion;

ii. Dalam tahun 2009, dua lesen perbankan perdagangan baharu akan ditawarkan kepada peserta asing yang akan membawa kepakaran khusus;

iii. Dalam tahun 2011, sehingga tiga lesen perbankan perdagangan baharu akan ditawarkan kepada bank-bank bertaraf dunia yang dapat memberikan manfaat besar kepada Malaysia;

iv. Dalam tahun 2009, dua lesen takaful keluarga baharu akan diberikan.

- Keutamaan akan diberikan kepada peserta yang mempunyai keupayaan untuk menyumbang dalam bidang-bidang yang memerlukan peningkatan, dan bidang pertumbuhan baharu dalam sistem kewangan negara. Ini juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa;

- Kelonggaran akan diberikan bagi meningkatkan had ekuiti asing bank pelaburan, bank Islam, syarikat insurans dan pengendali takaful daripada 49% kepada 70%. Hubungan ini akan memperkukuh potensi perniagaan dan meningkatkan prospek pertumbuhan institusi kewangan melalui kepakaran antarabangsa dan rangkaian hubungan global pemilik asing. Had pegangan ekuiti asing bagi bank perdagangan domestik tetap kekal pada tahap 30%;

- Memberi lebih fleksibiliti kepada institusi kewangan asing yang beroperasi di Malaysia untuk memperluas jangkauan produk dan perkhidmatan kewangan, terutamanya melalui pembukaan cawangan baharu. Ini adalah bagi mencapai akses yang lebih meluas dalam memberikan perkhidmatan kewangan (financial inclusion) dan meningkatkan penembusan insurans di dalam negeri. Bank–bank perdagangan asing yang diperbadankan di Malaysia akan dibenarkan untuk membuka empat cawangan baharu dalam tahun 2010 dan sepuluh cawangan pembiayaan mikro pada tahun ini.

- Lebih fleksibiliti akan diberikan kepada peserta luar pesisir Labuan. Berkuat kuasa pada 1 Jun 2009, Syarikat Induk Labuan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat Luar Pesisir 1990 akan diberikan fleksibiliti untuk menubuhkan pejabat operasi dan pengurusan di Kuala Lumpur bagi meningkatkan kecekapan operasi dan perniagaan mereka. Inisiatif ini akan membolehkan Syarikat Induk Labuan menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berkesan dan cekap; - Bagi menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih fleksibel dari segi pengendalian, institusi perbankan luar pesisir yang dilesenkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA) yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan akan diberikan fleksibiliti untuk beroperasi di dalam negeri (onshore) mulai tahun 2010. Syarikat insurans luar pesisir yang dilesenkan oleh LOFSA dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan juga akan diberikan fleksibiliti untuk beroperasi di dalam negeri (onshore) mulai tahun 2011. Fleksibiliti ini akan disokong oleh pengukuhan rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang mengawal selia peserta-peserta ini; dan

- Lebih fleksibiliti juga akan diberikan untuk mengambil pekerja ekspatriat dalam bidang-bidang kepakaran yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor kewangan.

6. Liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan bertujuan memastikan negara kita Malaysia akan mendapat manfaat yang maksimum. Pengukuhan hubungan antarabangsa dan peningkatan prestasi sektor kewangan kepada tahap yang lebih tinggi akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara keseluruhannya.

7. Butiran lanjut mengenai langkah-langkah ini akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia.

Datuk Sri Mohd Najib Putrajaya 27 April 2009

Artikel Lain