suria

Keluar perkataan tidak sopan: Peyokong Kelantan didenda RM20

KUALA LUMPUR: Akibat mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadap penyokong Selangor selepas perlawanan akhir Piala FA Sabtu lepas, seorang penyokong Kelantan didenda RM20 atau penjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nazran Mohd Sham menjatuhkan hukuman itu setelah Ahmad Hamiduddin Ab Wahid,24, mengaku bersalah menggunakan perkataan kurang sopan ke atas penyokong Selangor di Parking A, Stadium Bukit Jalil di Cheras pada 12.15 pagi, 26 April lepas.

Dalam perlawanan akhir Piala FA, Selangor menjulang piala berprestij itu selepas menewaskan Kelantan 41 menerusi tendangan penalti selepas perlawanan berakhir seri satu sama.

Ahmad Hamiduddin yang berasal dari Kota Baharu, Kelantan yang memakai jersi merah Kelantan pada prosiding mahkamah hari ini didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100.

Menurut fakta kes , pihak polis berjaya meleraikan pergaduhan di antara penyokong Selangor dan Kelantan yang berlaku selepas tamat perlawanan akhir Piala FA.

Pihak polis kemudian meminta mereka bersurai, bagaimanapun Ahmad Hamiduddin yang merupakan penyokong Kelantan masih enggan bersurai sebaliknya mengeluarkan perkataan yang boleh menimbulkan kemarahan penyokong Selangor.

Pendakwaan dijalankan oleh Penolong Pendakwa Raya Syaiful Nazrin Mohd Rahim manakala Ahmad Hamiduddin tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain