suria

Kedudukan Raymond, Musa dengar pandangan parti komponen

SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata beliau akan mendengar pandangan daripada semua ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan timbalannya Datuk Raymond Tan dalam kabinet negeri.

Katanya beliau berbuat demikian atas semangat setia kawan dalam BN dan adalah penting baginya mendengar pandangan daripada mereka semua.

"Pada masa sekarang, saya sedang mendengar pandangan daripada rakanrakan saya daripada ketua parti komponen di Sabah dan ada lagi di kalangan mereka belum saya jumpa.

"Jadi selepas saya jumpa mereka semua, barulah kita akan buat suatu keputusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Bumi Hijau Peringkat Daerah Sandakan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) Parti Liberal Demokratik (LDP) semalam yang menyokong sebulat suara gesaan agar Tan yang tidak mewakili manamana parti, meletak jawatan kabinet negeri memandangkan kedudukan politik beliau kini, demi kepentingan BN.

Minggu lepas, timbalan presiden LDP Datuk Chin Su Phin membuat gesaan agar Tan yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur meletak jawatan berikutan kedudukan beliau yang tidak mewakili parti setelah meninggalkan SAPP apabila parti ini keluar daripada BN.

Ramai pemimpin BN membantah kenyataan Chin dan naib presiden LDP Datuk Peter Pang Eng Yin sebelum ini menyatakan bahawa beliau percaya pandangan Chin adalah pandangan sendiri dan bukan parti.

Ditanya jika pandangan itu akan beliau dengar ketika mesyuarat BN negeri, Musa berkata beliau akan berjumpa dengan setiap ketua parti komponen BN di Sabah itu satu per satu tanpa melalui mesyuarat BN negeri.

"Ketua komponen parti BN di Sabah ini kadangkala sibuk dengan kerja mereka jadi tak perlulah kelam kabut dalam membuat sebarang keputusan.

"Kita di Sabah ini dalam keadaan baik, politik yang stabil dan biarlah kita selesai sebarang masalah satu per satu," katanya.

Musa berkata beliau juga akan berbincang sendiri dengan Tan bagi mendengar pandangan beliau sendiri. BERNAMA

Artikel Lain