suria

Kanak-kanak terjatuh dari bot di Tasik Raban ditemui terapung

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang hilang selepas bot yang dinaiki bersama keluarganya terbalik di Tasik Raban, Lenggong Sabtu lepas ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Grik, Supt Mahad Nor Abdullah berkata, mayat Anas Imran Azizi ditemui terapung kira-kira 2km dari tempat kejadian pada pukul 10.55 pagi ini oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Grik untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang Sabtu itu, bot yang dikemudi bapa mangsa Azizi Ahmad Sarkawi, 39, dan dinaiki enam ahli keluarganya terbalik di tengah Tasik Raban selepas terlanggar sebatang kayu.

Azizi dan lima ahli keluarganya terselamat selepas berjaya berpaut di bot tersebut manakala anaknya hilang di tasik berkenaan.

Polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu telah meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mencari mangsa tetapi gagal sehingga pukul 7 malam tadi.

Operasi yang disambung pagi ini berjaya menemui mayat mangsa itu.

Azizi yang bertugas sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kem Kementah, Kuala Lumpur menaiki bot terbabit bersama dua anaknya seorang adik serta iparnya serta dua anak saudaranya untuk menikmati keindahan di sekitar Tasik Raban dan Sungai Perak Sabtu lepas.

Menurut Azizi dia membawa bot dari rumahnya di Kuala Lumpur untuk melancong sempena cuti hari minggu. BERNAMA

Artikel Lain