suria

Pemilihan PPP: Murugiah mahu restu Kayveas

KLANG: Anggota Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) Senator Datuk T. Murugiah menyerahkan kepada presiden parti itu Datuk M. Kayveas untuk membuat keputusan muktamad berhubung jawatan yang perlu ditandinginya pada pemilihan parti Jun depan.

"Buat masa ini, saya belum memutuskan apa jawatan parti yang akan saya tandingi dalam pemilihan parti nanti, apabila tiba masanya, saya akan umumkan keputusannya selepas berbincang dengan presiden parti, anggota-anggota dan penyokongpenyokong saya.

"Kalau saya dapat restu daripada semua pihak, maka baru saya akan umumkan keputusan itu," katanya ketika ditanya sama ada beliau berhasrat untuk merebut apa-apa jawatan tertinggi parti dalam pemilihan parti itu kelak.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perniagaan Kecil Agro Tani dan Belia Niaga di sini yang disertai 2,000 usahawan di kalangan kaum India dan dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata kewujudan banyak parti politik berasaskan kaum India di negara ini merupakan satu perkembangan yang tidak baik sedangkan jumlah keseluruhan kaum India di negara ini adalah kecil iaitu kira-kira 1.8 juta orang.

"Masyarakat India telah pun berpecah kepada beberapa parti politik dan keadaan akan bertambah buruk jika banyak parti berasaskan kaum India muncul di masa akan datang," katanya mengulas mengenai penubuhan sebuah parti politik baru, Barisan Bertindak Demokratik India Malaysia (Mindraf), kelmarin.

Pengasasnya, Manuel Lopez yang juga seorang bekas wartawan akhbar tempatan dilaporkan berkata, penubuhan parti itu bertujuan memberi perkhidmatan kepada golongan India di negara ini.

Difahamkan, penubuhannya diasaskan pada Julai 2005 dan borang pendaftaran kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan akan dihantar sebelum akhir bulan ini untuk membolehkannya menjadi sebuah parti yang sah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain