suria

Lapan nelayan asing ditahan kerana ceroboh perairan negara

KUALA TERENGGANU: Kapal peronda Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, KM Segantang terpaksa melanggar buritan sebuah bot nelayan Thailand sebelum menahan bot terbabit kerana menceroboh perairan negara, pagi semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Kuala Terengganu, Komander Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata KM Segantang terpaksa bertindak demikian setelah berlaku drama mengejar di kawasan pelantar minyak ANDP E, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu.

Beliau berkata dalam kejadian kirakira pukul 8.40 pagi itu, KM Segantang telah mengejar bot nelayan asing itu selama 45 minit sebelum berjaya menahannya.

"Kita terpaksa melanggar buritan bot berkenaan setelah mereka tidak mengendahkan amaran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lapan nelayan yang masingmasing terdiri daripada empat warga Thailand dan Vietnam berumur antara 21 dan 45 tahun, ditahan di dalam bot tersebut.

Syed Mohd Fuzi berkata penahanan bot nelayan asing itu di kawasan pelantar minyak berkenaan adalah yang ketiga dalam Ops Perkasa Timur Siri 33/09 dalam tempoh seminggu lepas.

Beliau berkata bot jenis pukat tunda bernama "Cilipon 3180 02425" serta awaka-waknya telah dibawa ke jeti APMM Pulau Kambing di sini, hari ini untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain