suria

Tak mustahil BN rampas semula Pulau Pinang, kata bekas PM

KUALA LUMPUR: Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata tidak mustahil Barisan Nasional (BN) merampas semula pemerintahan kerajaan Pulau Pinang tetapi dengan syarat parti itu perlu mempunyai kerjasama mantap bukan sahaja daripada Umno, malah parti komponen lain.

Bekas Perdana Menteri berkata, amat penting kesilapan dan kesalahan yang berlaku yang menyebabkan BN kalah di Pulau Pinang diambil perhatian serta diperbetulkan selain perpaduan BN diperkukuhkan dan diperbaiki.

"Bukan mustahil ambil balik Pulau Pinang. Yang perlu kerja bersungguhsungguh dan cukup perlu ialah perpaduan muafakat bukan sahaja antara Umno tetapi anggota komponen BN di Pulau Pinang.

"Itu penting jika muafakat tak ada payah nak buat kerja, kerja yang disusun tak dapat dilaksana sebaiknya," kata Abdullah kepada pemberita selepas majlis sambutan 100 tahun Pertubuhan Pengakap Malaysia di sini hari ini.

Abdullah yang juga Presiden Agung Kehormat Pengakap Malaysia berkata beliau menyambut baik pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang menggantikan beliau.

"Saya gembira dan percaya beliau mampu memberi kepimpinan (yang baik) kepada Umno Pulau Pinang. Sebelum keputusan itu dibuat, saya dah sampaikan hasrat saya letak jawatan itu," katanya.

Abdullah enggan mengulas ketika ditanya mengenai keputusan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti.

"Saya tak nak komen. Itu dia orang punya pasal dan biarlah dia selesaikan masalah dia," katanya.

Berhubung pilihan raya kecil yang bakal diadakan di Penanti, Abdullah berkata Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan semalam yang menyerahkan keputusan itu kepada Biro Politik dan yang paling penting parti mesti mematuhi sebarang keputusan yang dibuat.

Ketika ditanya pendapat peribadi beliau sama ada BN perlu bertanding atau tidak, Abdullah berkata: "Ia tidak membawa apa-apa makna sekarang".

Mengenai kedudukan beliau yang bakal berubah dalam persidangan Dewan Rakyat Jun depan, Abdullah berkata: "Sebelum ini, saya pernah menjadi penyokong kerajaan, itu tidak mengapa. Anda mesti tahu apa yang perlu dibuat dan yang perlu diperkatakan.

"Hanya apabila anda enggan menerima perubahan dan mula bercakap serta melakukan perkara yang tidak betul, maka ia akan menimbulkan masalah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain