suria

Status agama anak: Syor Kabinet bantu baiki hubungan kaum, kata JUST

PETALING JAYA: Syor Kabinet bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain, seharusnya disambut baik oleh semua rakyat Malaysia.

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr, Chandra Muzaffar berkata, keputusan itu akan membantu memperbaiki hubungan antara kaum di negara ini.

"Dalam beberapa tahun lalu, beberapa episod berkaitan dengan pemelukan agama dan tanggungjawab mereka yang menganut Islam terhadap pasangan bukan Islam dan keluarganya telah menyebabkan impak negatif dalam fabrik pelbagai agama kita (negara ini).

"Dengan membenarkan kontroversi-kontroversi ini berlarutan, tanpa menyediakan apa-apa penyelesaian, pihak berkuasa secara tidak langsung memburukkan permusuhan antara kaum," katanya.

Justeru tambah beliau, keputusan Kabinet juga menekankan inti pati Islam yang memperlihatkan komitmen yang kuat terhadap keadilan dan kesaksamaan.

"Adalah salah bagi seseorang yang memeluk Islam untuk melepaskan tanggungjawabnya kepada pasangan dan anak-anaknya bukan Islam.

"Malah, dia juga tidak harus memujuk atau memaksa anak-anaknya yang kecil untuk memeluk Islam.

"Sepatutnya mereka kekal dalam agama ibu bapa mereka ketika masa perkahwinan ibu bapa mereka sehingga mereka mencapai usia dewasa, di mana mereka boleh memutuskan agama yang mereka ingin peluk," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan Kabinet itu adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh jemaat menteri memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.

Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu.

"Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anakanak," kata Mohamed Nazri.

Beliau berkata mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.

Katanya, Kabinet juga membuat keputusan bahawa sekiranya sesuatu perkahwinan didaftarkan di mahkamah sivil, maka ia hanya boleh dibubarkan mengikut undang-undang sivil.

Beliau berkata Kabinet juga bersetuju bahawa tarikh penguatkuasaan undang-undang Islam terhadap seseorang mualaf ialah tarikh dia memeluk agama itu.

Katanya bagi menguatkuasakan keputusan itu, Pejabat Peguam Negara akan diminta meneliti semua undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, tetapi tidak termasuk undang-undang syariah, yang terletak di bawah bidang kuasa sultan.

Artikel Lain