suria

Polis tahan lelaki cuba samun kedai serbaneka di Pudu

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang cuba menyamun kedai 7 Eleven awal hari ini terpaksa berputih mata apabila dia diberkas polis yang sedang melakukan rondaan di 'kawasan panas jenayah' pada pukul 3 pagi ini.

Dalam kejadian itu, anggota polis terbabit ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan memasuki kedai serbaneka itu di Jalan Landak, Pudu.

Penganggur itu yang berumur 35 tahun dan tidak mempunyai tempat tinggal tetap, menyerang juruwang wanita yang ketika itu sedang bertugas seorang diri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman berkata polis menyerbu masuk ke kedai berkenaan apabila melihat suspek mengacukan pisau kepada mangsa.

"Mangsa mempertahankan diri dengan menggunakan sebatang penyapu ketika polis menyerbu masuk manakala suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen cegah jenayah kawasan San Peng di sini hari ini.

Mohamad Zulkarnain berkata suspek mengaku telah menyamun lebih daripada tiga kali di kawasan berkenaan dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

Katanya suspek ditahan untuk siasatan dan polis merampas sebilah pisau lipat serta sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata kes samun di kedai serbaneka 24 jam kini semakin membimbangkan malah seolah-olah menjadi satu trend.

Oleh itu, katanya polis semakin giat melakukan pemantauan dan rondaan bagi mencegah kejadian seperti itu daripada terus berleluasa. BERNAMA

Artikel Lain