suria

MCA perlu terlibat aktiviti anjuran persatuan agama lain

BANGI: MCA perlu melibatkan diri dengan aktiviti tertentu yang bersesuaian tanpa mengira persatuan agama yang menganjurkan, kata Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Walaupun mewakili parti kaum Cina, katanya, beliau sendiri akan mempelopori usaha itu bagi memantapkan lagi perhubungan antara kaum di negara ini.

"Langkah itu juga dapat menghapuskan kekangan serta salah faham yang masih wujud di kalangan masyarakat majmuk di negara ini terutamanya berhubung isu agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Muslim Era Baru anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun MACMA sebuah persatuan terdiri daripada saudara baru tetapi pemelukan sesuatu agama oleh seseorang itu tidak sepatutnya memisahkan semangat kekitaan dalam masyarakat majmuk.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan menyuarakan sokongannya terhadap cadangan MACMA untuk mendirikan sebuah masjid Cina muslim dekat Kuala Lumpur.

"Menyokong itu bukan bermaksud masuk campur urusan hal ehwal Islam... sebagai warganegara Malaysia saya juga minat dalam seni bina yang pelbagai," katanya.

Cadangan pembinaan sebuah Masjid Cina Muslim di Selayang, dekat Kuala Lumpur itu dikemukakan MACMA sejak 14 tahun lepas dan sehingga kini ia masih menunggu proses kelulusan pemilikan tanah.

Isu pembinaan masjid itu hangat diperbincangkan beberapa tahun lepas kerana pembinaannya dikatakan boleh memecahbelahkan masyarakat kerana ia berasaskan kepada bangsa tertentu sahaja. BERNAMA

Artikel Lain