suria

MCA dokumentasikan warisan Cina

KUALA LUMPUR: MCA sedang menjalankan penyelidikan dan dokumentasi mengenai sejarah penduduk Cina di sini dan sumbangan mereka kepada negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata, langkah perlu diambil bukan hanya untuk tujuan pemuliharaan warisan tetapi juga bagi menyediakan perspektif yang betul mengenai fakta sejarah negara.

Untuk itu katanya, MCA telah mengarahkan biro tertentu yang diketuai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung mengetuai satu pasukan pendidik Cina dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menjalankan tugas ini.

"Sejarah adalah sesuatu yang telah berlalu tetapi ia juga menyediakan kita kesedaran yang diperlukan khasnya bagi generasi muda.

"Biro itu akan memastikan bahawa warisan itu hendaklah mengadakan penyelidikan sewajarnya dan didokumentasi dengan betul," katanya kepada pemberita selepas majlis memperingati kematian pengasas Kuala Lumpur, Kapitan Yap Ah Loy di sini hari ini.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, setelah siap, hasil kerja-kerja itu mungkin disiarkan secara dalam talian atau dicetak sebagai buku untuk manfaat orang tempatan serta orang asing yang berminat dengan sejarah Malaysia.

Beliau berkata, penemuan itu juga boleh dijadikan sebagai alat untuk mendidik orang ramai khasnya generasi muda mengenai sejarah dan warisan mereka.

Sebagai contoh Yap, katanya sumbangan Yap hendaklah dianggap sebagai satu warisan negara yang dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia dan bukan hanya sebagai warisan untuk masyarakat tertentu.

"Ia bermakna bukan hanya untuk dokumentasi tetapi penerangan yang boleh dikongsi sebagai warisan bersama oleh semua rakyat Malaysia, bukan sebagai sebuah warisan yang dimiliki oleh kaum atau etnik tertentu," tambah beliau.

Sementara itu, Presiden MCA itu juga berkata, sekolah rendah Cina di Lembah KLang akan dinamakan sempena nama Yap Ah Loy.

Beliau berkata, MCA akan juga membuat susulan dengan Kementerian Pelajaran mengenai kajian semula kandungan subjek sejarah di mana sesetengah fakta sejarah berkaitan Cina diputarbelitkan. BERNAMA

Artikel Lain