suria

Ketua Pemuda Negeri diumum minggu depan

SEREMBAN: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan mengumumkan senarai barisan Ketua Pemuda Umno negeri minggu depan.

Katanya, ini berikutan perkara itu masih dibincangkan dengan dua atau tiga negeri berikutan pelantikan baru pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang diumumkan semalam.

"Saya hanya akan mengumumkan selepas saya berbincang serta minta pendapat dan pandangan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri terbabit," katanya ketika ditemui di majlis gotong-royong Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi anjuran Badan Penyelaras Umno DUN Paroi di Kampung Paroi dekat sini, hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, yang pasti semua Ketua Pemuda Umno itu terdiri daripada muka baru yang berwibawa dan berkemampuan.

Beliau berharap mereka yang dilantik akan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

"Saya juga meminta semua Pemuda Umno agar terus memberikan kerjasama bagi menggerakkan jentera Pemuda Umno negeri untuk menambat hati rakyat terhadap Umno.

"Kita juga patuh dengan kehendak pucuk pimpinan tertinggi parti yang mahukan perubahan ke arah memantapkan perjuangan Umno," katanya. BERNAMA

Artikel Lain