suria

Penanti: Fairus kekal, tidak buat pusingan 'U'

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin kekal dengan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Ia disahkan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali.

Kata beliau, ia dinyatakan oleh Fairus petang tadi.

Dalam pada itu, Fairus berkata, "saya dengan ini mengulangi ketegasan saya untuk meletakkan jawatan selaku ADUN Penanti."

"... serta menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat di bawah teraju Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Fairus dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Kata Fairus, pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah membebaskannya dari segala tuduhan adalah satu manifestasi kebenaran yang telah selama ini beliau pertahankan.

"Ternyata usaha keji pihak-pihak tertentu yang telah menabur fitnah hingga menyebabkan luka terhadap saya, keluarga dan Parti Keadilan Rakyat tidak diizinkan Allah untuk menyanggah kebenaran saya," katanya.

Malah kata Fairus, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu-individu, ahli-ahli politik serta media-media tertentu yang telah mengaibkan dan menabur fitnah.

Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau menyerahkan kepada Anwar untuk menentukan kedudukan Fairus.

"Saya gembira Fairus terlepas daripada masalah itu (tuduhan penyelewengan) selepas keputusan SPRM.

"Sama ada PKR bersedia menerima beliau kembali sebagai ADUN... itu terpulang kepada Anwar sebab dia (Fairus) letak jawatan selepas berbincang dengan Anwar.

"Kita pun tidak tahu apa yg dibincagkan... kita hanya menurut keputusan itu," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Pilihan raya kecil DUN Penanti sudah pasti? Kekal ADUN: Fairus serah pada PKR, Speaker kata tak boleh patah balik

Artikel Lain