suria

Mufti Perak gesa kerajaan kaji semula keputusan isu anak kekal agama asal

IPOH: Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria menyarankan kerajaan mendapatkan pandangan Majlis MuftiMufti Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan berhubung agama Islam bagi mengelak timbulnya kekeliruan.

Beliau berkata keputusan kerajaan bahawa kanakkanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama adalah satu isu yang perlu dibincangkan oleh majlis berkenaan terlebih dahulu.

"Dalam agama Islam manamana bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut islam kecuali jika anak tersebut sudah berumur lebih 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri," katanya mengulas keputusan Kabinet semalam yang memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Ketika mengumumkannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu adalah sebagai langkah penyelesaian berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa menukar agama.

Di KUALA LUMPUR, Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) berpandangan bahawa isu penentuan status agama anak apabila salah seorang ibu bapa memeluk agama Islam perlu dilihat kepada hukum syarak dan perundangan.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata isu mengenai status agama anak termaktub dalam perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia menyatakan bahawa seseorang anak yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

“Berdasarkan kepada peruntukan ini, persetujuan salah satu pihak sahaja sudah adalah memadai dalam penentuan agama seseorang kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang difakskan kepada mStar Online hari ini.

Jelasnya, dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] memperuntukkan bahawa seseroang kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh masuk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

“Antara kes yang boleh dirujuk yang berkaitan dengan hak penetuan agama ialah kes Subashini Rajasingam lawan Saravan Thiangathoray.

“Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa bapa kanak-kanak tersebut mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, dalam kes ini suami adalah berhak untuk mengislamkan anaknya walaupun isterinya tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya,” katanya.

Tambahnya, jika isu tersebut dilihat daripada aspek hukum syarak, mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mestilah seorang Islam keran jika orang yang menjaga itu bukan beragama Islam, dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama dan kanak-kanak di bawah jagaannya.

“Hak seorang Muallaf di sisi undang-undang perlu dipertahankan. Kita tidak sewajarnya menganggap seseorang yang memeluk Islam itu bertujuan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab,” katanya.

Tegas Wan Mohamad, merujuk kes Ridzuan Abdullah atau K.Patmanathan yang sedang dibicarakan yang menuntut hak penjagaan terhadap 3 orang anaknya, Jakim berpandangan bahawa semua pihak harus bersabar kerana kes tersebut masih dalam perbicaraan.

“Semua pihak seharusnya mematuhi peruntukkan undang-undang Islam dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Lain