suria

KPN selar tuduhan GMI dalam Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Polis menegaskan bahawa segala tuduhan dan gambaran yang dilemparkan dalam laporan laman web 'Malaysiakini' kononnya polis memberi tekanan kepada keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah palsu dan sengaja direka oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata dakwaan yang mengatakan polis memberi tekanan kepada anggota keluarga Agus Salim yang kini ditahan mengikut ISA adalah tidak benar.

Musa berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas laporan bertajuk 'Innocent Until Proven Guilty' dan 'Police Pressure ISA Detainee's Family yang disiarkan oleh laman web tersebut pada 21 April lepas.

Beliau berkata penahanan Agus Salim mengikut ISA telah dimaklumkan kepada majikannya pada hari dia ditangkap iaitu 1 Mac lepas. Bagaimanapun lawatan keluarga tahanan tidak dapat diadakan dalam tempoh yang cepat atas permintaan adik tahanan itu sendiri, Watini Saputri.

Katanya ini kerana adik perempuan Agus Salim itu mahu menunggu ketibaan ibu mereka, Kartem dan abangnya Junaidi Bahari dari Medan.

"Sepanjang tempoh lawatan keluarga, Kartem telah dibenarkan berjumpa Agus Salim tanpa sebarang tekanan dan ugutan," katanya.

Malahan, katanya polis turut menggunakan budi bicara dengan membenarkan permintaan Kartem untuk melanjutkan tempoh perjumpaan sehingga empat jam.

"Dakwaan kononnya telefon bimbit dan pasport Kartem dirampas juga tidak benar kerana kedua-dua item tersebut hanya disimpan sementara sebagai tujuan mematuhi prosedur lawatan keluarga malahan kedua-dua barang berkenaan diserahkan kembali kepadanya selepas tempoh lawatan berakhir," katanya.

Beliau berkata polis juga dimaklumkan bahawa beberapa aktivis GMI bertindak menahan Junaidi kira-kira tiga jam dalam sebuah kenderaan ketika dia hendak mengambil semula beg pakaian yang disimpan di rumah tumpangan yang disediakan GMI sendiri.

Dia hanya dibebaskan setelah Kartem selesai mengadakan lawatan keluarga, kata Musa.

Katanya tindak tanduk GMI juga telah menimbulkan tekanan kepada Kartem dan Junaidi sehingga mereka bertindak meninggalkan rumah tumpangan yang disediakan GMI itu sebelum berlepas ke Johor Baharu pada pagi 21 April lepas.

"Dakwaan-dakwaan GMI ini telah pun dinafikan sendiri oleh Junaidi melalui satu kenyataan akhbar yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia semalam," katanya. BERNAMA

Artikel Lain