suria

SPRM enggan ulas dakwaan Fairus sudah bersih siasatan

PULAU PINANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini enggan mengulas dakwaan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin yang namanya telah dibersihkan daripada siasatan SPRM.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md. Yatim yang ditemui pemberita pada satu majlis di sini mengelak untuk menjawap soalan berhubung dakwaan berkenaan.

"Saya hanya akan menjawap soalan berkaitan dengan majlis ini sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mesyuarat Polis Pulau Pinang bersama agensi penguatkuasaan di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob.

Walaupun ditanya beberapa kali soalan yang sama berhubung dakwaan ahli politik dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Latifah tetap enggan mengulas.

Sementara itu, pegawai-pegawai atasan SPRM turut gagal dihubungi bagi mendapatkan pengesahan dan penjelasan berhubung perkara itu.

Akhbar hari ini melaporkan Mohammad Fairus, 33, mengesahkan kes siasatan rasuah membabitkannya telah ditutup dan beliau dimaklumkan berhubung perkara itu petang Rabu oleh pegawai SPRM.

Fairus yang dikaitkan dengan siasatan rasuah membabitkabn projek kuari di Pulau Pinang, meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 pada 8 April lepas.

Beliau juga melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 16 April atas alasan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca ijazah. BERNAMA

Artikel Lain