suria

Sebutan semula kes nusyuz Norhayati 2 Julai

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes permohonan nusyuz (derhaka) seorang jurutera perunding terhadap isterinya, Naib Ketua Wanita Umno Selangor, Norhayati Onn.

Hakim syarie Drs Atras Mohamed Zin menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Norhayati dan suaminya, Mohd Suffian Abdul Aziz mengemukakan hujahan tambahan sebelum mahkamah membuat keputusan berhubung permohonan Norhayati untuk mengetepikan permohonan nusyuz suaminya.

Menurut Atras, hujahan tambahan itu adalah bagi menjelaskan status kes permohonan cerai secara fasakh yang difailkan oleh Norhayati terhadap Mohd Suffian sebelum ini berikutan wujudnya kekeliruan mengenai kesilapan bekas peguam Norhayati yang meletakkan nombor rujukan kes berlainan.

Dalam prosiding hari ini, Norhayati tidak hadir di mahkamah.

Ketika Mohd Suffian bangun dan melahirkan kekesalannya kepada mahkamah berhubung ketidakhadiran Norhayati, Atras menjelaskan bahawa kehadiran beliau (Mohd Suffian) dan Norhayati tidak diwajibkan jika kes ditetapkan untuk sebutan.

Atras berkata mereka berdua bagaimanapun perlu hadir sekiranya kes ditetapkan untuk perbicaraan dan jika mahkamah ingin membuat keputusan. BERNAMA

Artikel Lain