suria

Pilihan raya Penanti: Tarikh diumum ditunda bukan kerana "pengaruh luar"

PUTRAJAYA: Penundaan pengumuman mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, yang sepatutnya diadakan esok kepada Isnin ini, adalah kerana urusan pentadbiran, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata sehingga ini SPR belum menerima kenyataan bertulis daripada pemilikpemilik bangunan yang akan digunakan termasuk bagi penamaan calon dan pengiraan undi, juga kenyataan bertulis mengenai persetujuan pegawai pengurus pilihan raya dan penolongpenolong pegawai pengurus pilihan raya untuk mengendalikan pilihan raya itu.

"Bila urusan pentadbiran belum selesai bagaimana kita nak umumkan?" katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abdul Aziz menolak tanggapan kononnya terdapat "pengaruh luar" yang menyebabkan penundaan tersebut.

"Ini tidak ada kenamengena dengan pengaruh politik, ini isu dalaman kami sendiri. Kami sudah bersedia untuk mengadakan pilihan raya dan sebaik sahaja kami dapat pengesahan mengenai perkara-perkara ini maka kami akan umumkan," katanya.

Penundaan pengumuman tarikh pilihan raya itu menimbulkan spekulasi beberapa pihak termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipetik oleh akhbar parti itu, Harakah, sebagai berkata SPR kini sudah tidak bebas dan ada orang belakang yang menentukan hala tujunya.

Pilihan raya itu bakal diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I sebelum itu berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Abdul Aziz hari ini turut mempengerusikan mesyuarat bersama wakil partiparti politik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengenai penguatkuasaan sepenuhnya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 termasuk bagi melarang sebarang bentuk kempen pada hari mengundi.

Bagaimanapun, katanya, larangan bagi mengelak sebarang masalah daripada segi keselamatan awam dan pengundi itu belum dapat dilaksanakan kerana kata sepakat masih belum dapat dicapai.

"Ini merupakan perjumpaan pertama dan kita akan terus berbincang. SPR perlu melihat perkara ini secara mendalam supaya ia tidak menimbulkan sebarang masalah apabila dilaksanakan nanti," katanya.

Mengenai dakwaan beberapa pihak kononnya SPR mengikut nada BN dalam mencadangkan agar pindaan terhadap akta bagi menghalang wakil rakyat mengosongkan kerusi tanpa sebab munasabah, Abdul Aziz berkata ia hanya pandangan SPR sebagai badan yang melaksanakan pilihan raya di negara ini bukan kerana dipengaruhi manamana pihak.

Beliau berkata walaupun ia merupakan hak individu untuk meletakkan jawatan sebagai anggota DUN, namun untuk mengadakan suatu pilihan raya bukan mudah dan melibatkan banyak kerja, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku secara berterusan.

"Kita perlu lihat masa yang sesuai, sama ada ada program-program lain atau musim-musim tertentu seperti musim tengkujuh, kena tentukan tempat-tempat pengundian, pengurus-pengurus pilihan raya, tentukan daftar pemilih, kursus latihan kepada kakitangan dan belanjawan.

"Perbelanjaan juga semakin meningkat apabila semakin banyak pilihan raya diadakan, jadi kita harap perkaraperkara sebegini dapat dikurangkan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain