suria

Perkataan 'Bapa' hangatkan sidang DUN

PULAU PINANG: Perkataan 'bapa' yang digunakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Phee Boon Poh menghangatkan persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini apabila menimbulkan rasa tidak puas hati ketua pembangkang Datuk Azhar Ibrahim (BN- Penaga).

Phee menggunakan perkataan itu bagi merujuk kepada kerajaan persekutuan khususnya dalam soal pengagihan peruntukan sebanyak RM1.1 juta untuk membantu menghapuskan miskin tegar di negeri itu.

"Cuba tanya bapa di mana peruntukan yang dijanjikan," katanya ketika penggulungan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Azhar bangun mencelah dan menyifatkan Phee sebagai kurang ajar dan meminta beliau memohon maaf dan tidak mengulanginya lagi.

"Bapa saya sudah mati. Jangan main-main. Saya sanggup bergaduh," katanya.

Pertikaman lidah antara keduaduanya memaksa Speaker Abdul Halim Hussain mengarahkan Phee supaya tidak menggunakan perkataan 'bapa' untuk merujuk Kerajaan Pusat kerana ia dianggap sensitif.

Phee kemudian bangun menjelaskan bahawa kerajaan pusat adalah seperti seorang bapa dan kerajaan negeri seperti anak.

Persidangan disambung semula Isnin ini. BERNAMA

Artikel Lain