Perak kembali guna Perdana; lelong 16 Camry baru membazir, kata Nizar - Semasa | mStar

Perak kembali guna Perdana; lelong 16 Camry baru membazir, kata Nizar

PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak untuk melelong 16 buah kereta Toyota Camry yang digunakan exco Pakatan Rakyat sebelum ini sebagai satu pembaziran wang rakyat.

Nizar berkata, kerajaan negeri yang baru itu sepatutnya menggunakan terlebih dahulu kereta tersebut dalam tempoh lima hingga enam tahun sebelum menjualnya memandangkan ia baru sahaja dibeli Januari lalu.

"Kereta itu semua masih dalam tempoh jaminan tiga tahun. Mengapa mahu melelongnya sedangkan ia masih baru dipakai?

"Pada saya, elok mereka gunakan dahulu kerana tindakan membeli kereta lain bagi menggantikan Camry itu adalah sesuatu yang membazirkan duit rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.

Kelmarin, kerajaan negeri Perak dikatakan akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco Pakatan ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut kenyataan tender terbuka yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di Ipoh semalam, lelongan kereta itu akan berlangsung pada 4 hingga 18 Mei ini dan kereta-kereta tersebut boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Mengulas lanjut, Nizar berkata, kesemua kereta Camry tersebut dibeli oleh pihaknya bagi menggantikan Proton Perdana V6 yang telah empat tahun digunakan oleh kerajaan BN sebelum Pakatan menerajui kerajaan Perak pada Mac tahun lalu.

"Kita pakai tidak sampai setahun tapi kos penyelenggaraan untuk sebuah kereta V6 amat tinggi sehingga ada yang mencecah RM80,000, boleh beli sebuah kereta lain pula.

"Jadi kita ambil keputusan untuk menukar kenderaan rasmi kerajaan negeri kepada Camry kerana jika diikutkan harga, harganya hanya RM96,000 sebuah berbanding V6 yang berharga RM102,000.

"Selain itu, Toyota Camry lebih tahan lasak dan kos penyelenggaraannya juga lebih murah berbanding V6," katanya.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, pembelian Camry oleh Pakatan itu juga bukanlah satu kesalahan memandangkan kerajaan BN sebelum itu yang diterajui Datuk Seri Mohammad Tajol Rosli sememangnya telah mempunyai peruntukan untuk menukar kereta rasmi kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak tahu sama ada BN akan membeli kenderaan rasmi yang baru atau menggunakan Perdana V6 yang lama.

Nizar berkata, jika BN mahu terus mempersoalkan pembelian Toyota Camry itu yang dikatakan tidak mengikut dasar negara yang mahukan penggunaan kereta tempatan, beliau turut mahu mempertikaikan pembelian Mercedez sebagai kereta rasmi kerajaan negeri di Terengganu dan Volvo di Sabah.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, kerajaan negeri Perak pimpinan BN akan membeli kereta Proton Perdana Eksekutif untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi anggota Exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan bagi menggantikan 16 buah kereta rasmi jenis Toyota Camry yang akan dilelong itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, "kita telah pun membuat keputusan bahawa kita akan kembali semula kepada Proton kerana itu adalah kereta yang menjadi lambang kebanggaan negara dan sewajarnya kita kembali semula menggunakan kereta ini sebagai kereta rasmi.

Ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Ipoh hari ini, beliau tidak menyatakan jumlah kereta Proton Perdana Eksekutif yang akan dibeli dan sekadar menyatakan pembelian akan dibuat berdasarkan kepada keperluan kerajaan negeri.

Ditanya sama ada kerajaan negeri mempunyai kebimbangan terhadap kos penyelenggaraan kereta Proton Perdana Eksekutif yang didakwa tinggi, Zambry berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan khas dengan syarikat Proton berhubung penyelenggaraan kereta berkenaan.

Sementara itu, Zambry berkata kerajaan negeri menerima maklum balas menggalakkan daripada pelbagai pihak yang berminat untuk mendapatkan 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 itu.

Zambry juga mengesahkan bahawa Nizar telah menyatakan hasratnya untuk membida kereta Toyota Camry 2.4V bernombor pendaftaran AGS10 yang digunakan oleh bekas Menteri Besar itu sebelum ini.

"Walaupun ada pembida yang lebih tinggi, kita kena faham beliau adalah bekas seorang Menteri Besar. Oleh kerana dia nak pakai... dia nak beli kereta itu, kita bagi keutamaan kepada dia.

"Ini adalah beberapa hal yang kita kena ambil kira juga," katanya.

Zambry juga tidak menolak kemungkinan keutamaan serupa akan diberikan kepada mana-mana bekas exco pakatan pembangkang yang berminat untuk membeli bekas kereta rasmi masing-masing.

"Tanya mereka (bekas exco) berminat ke tidak. Biasanya kita akan bagi keutamaan, itu adalah dasar kita sebelum ini tapi walau apa pun, kita akan pergi kepada pembida yang tertinggi yang kita tahu sebelum ini harga rizabnya adalah RM148,000 sebuah," katanya.

Artikel Sebelum

Pakatan tolak syor SPR hadkan penyokong

Artikel Berikut

Perkataan 'Bapa' hangatkan sidang DUN

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

Artikel Lain