suria

Gobind pohon deklarasi gantung dari Parlimen tidak sah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo hari ini memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon deklarasi bahawa perintah penggantungannya sebagai anggota Parlimen selama 12 bulan berkuatkuasa 16 Mac lepas, adalah batal dan tidak sah kerana melanggar peruntukan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Gobind memfailkan saman pemula itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di sini pukul 12 tengah hari, melalui Tetuan Karpal Singh & Co.

Dalam saman itu beliau menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, setiausaha Dewan Rakyat dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam saman itu Gobind juga memfailkan perakuan segera supaya kesnya didengar secepat mungkin kerana sidang Dewan Rakyat penggal kedua akan bermula 16 Jun ini, bagi membolehkan beliau menghadiri sidang itu.

Gobind juga memohon deklarasi supaya surat bertarikh 18 Mac 2009 yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah iaitu perintah penggantungan tugasnya sebagai Ahli Parlimen dan perintah ketidaklayakan beliau kepada semua elaun dan kemudahan sebagai Ahli Parlimen, sebagai batal dan tidak sah kerana perintah itu tidak boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang. Gobind, 36, yang hadir bersama bapanya, Karpal Singh, juga memohon deklarasi bahawa beliau berhak kepada elaun dan kemudahan lain di bawah Perkara 64, Perlembagan Persekutuan berikutan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Selain itu beliau juga memohon deklarasi bahawa prosiding dan keputusan yang dibuat oleh Dewan Rakyat pada 16 Mac itu adalah tidak kebal untuk diadili di mahkamah, juga faedah, kos dan lainlain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam affidavit bagi menyokong saman pemulanya itu, Gobind mendakwa prosiding Dewan Rakyat pada 16 Mac adalah bertentangan dengan hak keadilan asasi kerana beliau tidak diberi peluang untuk menyangkal dakwaan-dakwaan yang dikemukakan dalam usul yang diluluskan oleh Mohamed Nazri supaya Gobind digantung tugas sebagai Ahli Parlimen dan beliau tidak akan dibayar elaun dan kemudahan sebagai ahli Parlimen.

Gobind juga mendakwa mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk meneliti prosiding di Dewan Rakyat kerana peruntukan di bawah Artikel 64 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan secara mandatori bahawa Ahli Parlimen berhak kepada kemudahan-kemudahan sebagai Ahli Parlimen.

Karpal, yang mewakili anaknya dalam kes itu memberitahu media bahawa tindakan saman pemula itu diambil berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lepas, yang memutuskan bahawa keputusan oleh Speaker Dewan Negeri Perak V. Sivakumar yang menggantung kehadiran Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam ahli exco yang lain, adalah tidak sah.

Karpal berkata, semasa beliau digantung keahliannya sebagai Ahli Parlimen Jelutong pada 22 November 1984 berhubung kenyataannya mengenai Sultan Johor, beliau (Karpal) tidak disekat bayaran dan kemudahan-kemudahan lain.

Ditanya sama ada tindakan mencabar keputusan speaker Dewan Rakyat itu, seolah-olah bercanggah dengan pegangan Pakatan Rakyat yang menyokong keputusan speaker Sivakumar dalam sidang DUN itu, Karpal berkata saman pemula yang difailkan itu adalah berlandaskan undang-undang dan berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan. BERNAMA BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo memfailkan saman terhadap Speaker Dewan Rakyat dan tiga pihak yang lain berhubung keputusan menggantung beliau daripada menghadiri sidang Parlimen selama tahun berkuat kuasa bulan lalu.

Tiga pihak lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz; Setiausaha Dewan Rakyat dan kerajaan Malaysia.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, beliau menggariskan keputusan menggantung beliau dari Dewan Rakyat selama setahun termasuk kehilangan elaun adalah tidak sah.

Gobind diwakili oleh Karpal Singh & Co.

Pada 16 Mac lalu, Gobind digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama 12 bulan termasuk tidak akan menerima sebarang bayaran elaun dan kemudahan lain sebagai Ahli Parlimen kerana dua kenyataannya yang menghina Dewan pada 12 Mac.

Tindakan itu diambil berikutan Gobind mengeluarkan kenyataan mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu Timbalan Perdana Menteri terbabit dalam kes pembunuhan dan menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 12 Mac lalu.

Penggantungan itu diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah pengundian sebulat suara daripada Ahli Parlimen kerajaan yang hadir dalam persidangan Dewan.

Nazri telah mencadangkan satu usul menggantung Ahli Parlimen Puchong di bawah Perkara 27(3) Peraturan Mesyuarat di mana satu notis segera dikeluarkan di hadapan Speaker Dewan Rakyat.

Artikel Lain