suria

Anak pasangan tukar agama perlu kekal agama asal

KUALA LUMPUR: Kabinet memutuskan bahawa pasangan yang menukar agama, anak mereka di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, langkah itu sebagai penyelesaian jangka panjang dalam soal tukar agama dan berkaitan dengan kes K. Patmanathan di Ipoh yang membawa anaknya memeluk Islam baru-baru ini.

Jelas beliau, kanak-kanak pasangan terbabit perlu dibesarkan mengikut agama asal masing-masing.

Perkara itu telah diputuskan oleh Kabinet dalam mesyuarat mingguannya.

Selain itu, Kabinet juga memutuskan pasangan yang telah memeluk agama Islam juga perlu memenuhi tanggungjawab perkahwinan seiring dengan undang-undang perkahwinan sivil.

"Agama tidak harus digunakan sebagai alat untuk bebas daripada tanggungjawab perkahwinan.

"Memeluk agama bukan merupakan alasan automatik untuk memutuskan perkahwinan," kata beliau pada sidang media hari ini.

Isu meneluk agama dibawa ke perhatian Kabinet pada 15 April lalu dengan merujuk kepada kes spesifik itu.

Indra Ghandhi, 35, telah meminta bantuan persatuan Hindu Sangam di Ipoh selepas suaminya Patmanathan, kini Mohd Ridzuan Abdullah, menukar agama tiga anaknya tanpa kehadiran dan tanpa memaklumkan kepadanya.

Dia dikatakan menggunakan surat kelahiran kanak-kanak berkenaan untuk menukar agama.

Artikel Lain