suria

Tidak maklum keputusan Fairus, Anwar mohon maaf

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menganggap masalah antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai berikutan permohonan maaf daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Lim hari ini mengesahkan bahawa Anwar telah memohon maaf berikutan kegagalan beliau memaklumkan kepada Lim mengenai peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

"Saya tidak mahu perkara ini berlanjutan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP secara peribadi menyatakan perasaan kurang gembira kerana Anwar tidak memaklumkan kepadanya mengenai peletakan jawatan Mohammad Fairus.

Mohammad Fairus yang meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I berkuatkuasa 8 April lepas kemudiannya melepaskan jawatannya sebagai ADUN Penanti pada 16 April. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain