suria

Speaker DUN Perak dakwa difitnah

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar mendakwa beliau telah difitnah berhubung arahan mengeluarkan notis persidangan dewan itu yang dijadual pada 7 Mei ini.

Katanya, beliau terperanjat dengan laporan akhbar The New Straits Times (NST) semalam bahawa ada pihak mengatakan beliau telahpun dimaklumkan tentang persidangan DUN itu sebelum notis mesyuarat itu dikeluarkan sedangkan sebelum ini, beliau berkata notis itu dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

"Saya tidak akan membiarkan perkara ini. Ini merupakan satu lagi usaha untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya.

"Kalaulah tuduhan yang dibuat itu benar, kenapa pula orang yang mengeluarkan kenyataan itu tidak berani memberi identitinya dalam akhbar.

"Kenapa hanya mengatakan (sumber berita itu) sebagai orang yang ada kena-mengena dengan Pejabat Menteri Besar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sivakumar berkata beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum notis memanggil persidangan DUN dikeluarkan oleh Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri, pada Jumaat lepas.

Katanya, perjumpaan beliau dengan Abdullah seperti yang dilaporkan oleh akhbar itu adalah selepas notis itu dikeluarkan oleh Abdullah tanpa sebarang rundingan terlebih dahulu dengan beliau.

"Saya diberitahu bahawa satu notis telah dihantar ke pejabat saya lebih kurang pukul 10 pagi. Notis yang sama telah dihantar oleh Setiausaha DUN kepada semua Anggota DUN. Saya telah melihat notis itu lebih kurang pukul 1 petang.

"Saya hanya berjumpa dengan Abdullah lebih kurang pukul 3 petang selepas beliau balik daripada sembahyang Jumaat," katanya.

NST semalam melaporkan bahawa Sivakumar tahu mengenai notis mesyuarat itu sebelum ianya diedarkan kepada semua 59 ADUN. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain