suria

Lelaki dipenjara sebabkan kematian wanita selepas adegan seks

SHAH ALAM: Seorang pekerja am hari ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan wanitanya akibat satu pertengkaran selepas mereka mengadakan hubungan seks dekat sebuah kuil di Sepang empat tahun lepas.

S.Ganesan, 24, dikenakan hukuman itu oleh Pesuruhjaya Kehakiman Abang Iskandar Abang Hashim yang memerintahkan agar hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Ogos 2005.

Dalam penghakimannya, Hakim Abang Iskandar berkata walaupun Ganesan mengaku bersalah, mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam dalam mempertimbangkan hukuman yang perlu dikenakan.

Ganesan didakwa menyebabkan kematian P.Suganthy, 22, pencuci di sebuah kolej swasta, di kawasan kuil India, Kampung Lembah Paya Salak, Sepang, antara tengah hari dan 6.15 petang 11 Ogos 2005.

Menurut fakta kes, pasukan polis menemui mayat Suganthy dalam keadaan separuh bogel di dalam semak dengan luka tetakan pada badannya manakala kesan seretan darah terdapat pada lantai kuil.

Berdasarkan keterangan, Ganesan yang mengenali Suganthy telah membawanya ke kuil itu kerana wanita itu mahu bersembahyang, dan selepas bersembahyang, mereka telah mengadakan hubungan seks di luar kawasan kuil.

Sejurus selepas itu, semasa mereka berbual-bual, telah berlaku pertengkaran dan Ganesan bertindak mengambil parang di luar kuil lalu menetak Suganthy di kepala dan tangan hingga wanita itu rebah.

Tertuduh kemudian menarik mangsa ke dalam semak dan mencampak parang itu di tepi kuil sebelum melarikan diri.

Ganesan sebelum ini dibicarakan terhadap tuduhan membunuh Suganthy mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan kemudian menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun yang sama selepas pihak pembelaan membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah selepas sembilan saksi pendakwaan memberikan keterangan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hana Hadinah Sheikh Mohd Ghazali manakala Ganesan diwakili peguam K.Viknesvaran. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain