suria

Wanita Thai dan bekas suami ditahan di Kuantan miliki 132 gram heroin

KUANTAN: Seorang wanita Thailand dan bekas suaminya rakyat tempatan ditahan dua hari lepas kerana memiliki 132 gram heroin bernilai RM90,000.

Mereka ditahan dalam satu sekatan jalan raya di KM 22, Jalan Kuantan-Neram dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Toon Khuan berkata, kedua-duanya ditahan selepas polis memeriksa kereta yang mereka naiki.

"Polis menemui satu bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 30 botol kecil berisi heroin asli di tempat letak kaki bahagian penumpang hadapan kereta berkenaan.

"Kita percaya dadah berkenaan untuk dipasarkan di negeri Pahang," katanya.

Yap juga berkata tiga lelaki dipercayai pengedar dadah termasuk seorang wanita turut ditahan di sebuah rumah di Taman Teow Soon dekat Jerantut pada hari yang sama.

Dalam serbuan ketika tengah malam di rumah itu, polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut menemui 10 paket plastik dan 41 tiub straw mengandungi dadah disyaki syabu bernilai RM50,000 yang disembunyikan di dalam kasut di ruang tamu rumah berkenaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain