suria

UPP tahan lelaki cuba seludup benih kerang RM180,000

RANTAU PANJANG: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan menahan seorang lelaki warga tempatan yang cuba menyeludup benih kerang bernilai kirakira RM180,000 ke negara jiran dalam pemeriksaan di Kampung Jedok Tua, Tanah Merah semalam.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata lelaki berumur 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.45 petang ketika sedang memandu sebuah lori yang sarat dengan muatan 90 guni benih kerang.

Mazlan berkata ketika pemeriksaan dijalankan, lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit yang sah berkaitan pengedaran benih kerang itu.

"Benih kerang berkenaan akan dijual dengan harga RM2,000 setiap guni di negara jiran untuk dibesarkan di sana sebelum memasuki pasaran dalam negara terutamanya menjelang bulan puasa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya faktor negara jiran yang tidak mampu mengeluarkan benih kerang yang berkualiti menyebabkan permintaan untuk benih itu dari dalam negara terutamanya dari kawasan pengeluaran utama di Perak dan Selangor menjadi tinggi.

"Faktor harga tinggi yang ditawarkan juga menjadi tarikan utama untuk penyeludup membawa masuk benih kerang ke negara jiran," katanya.

Beliau berkata benih kerang, kenderaan yang dirampas serta pemandu telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain