suria

Tukang cuci wanita ditemui maut dalam keadaan bogel

KUALA LUMPUR: Seorang tukang cuci wanita ditemui mati tertiarap di atas katil dalam keadaan bogel di sebuah rumah di Plaza Sri Sinar, Segambut di sini, semalam.

Mayatnya ditemui tuan rumah yang juga majikannya, kira-kira jam 5 petang selepas mangsa dilaporkan tidak hadir ke tempat kerjanya di sebuah kedai di kawasan Kepong pagi semalam.

Siasatan awal mendapati mangsa, seorang warga Indonesia berusia 25 tahun, dipercayai ditikam di rusuk kiri.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pargan berkata, mangsa yang tinggal sendirian, dipercayai mati kurang daripada 24 jam sebelum kejadian .

"Bagaimanapun, tiada kesan pecah masuk dan polis yang mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, masih menyiasat motif pembunuhan," katanya.

Zakaria juga berkata, polis akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kejadian bagi membantu siasatan kes itu. BERNAMA

Artikel Lain