suria

Shahrizat: "Cukuplah helah pembangkang", sokong tidak tanding di Penanti

PETALING JAYA: Wanita Barisan Nasional (BN) berharap semua parti komponen akan menyokong cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun semalam berhubung kemungkinan BN tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil itu tetapi tidak bersetuju dengan helah yang cuba dilakukan pembangkang berhubung peletakan jawatan secara sengaja oleh ADUN kawasan itu, Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kami Wanita UMNO bersiap sedia tetapi kami tidak bersetuju proses demokrasi negara ini disalahgunakan dan diperlekehkan sehingga rakyat menjadi magsa oleh kerenah individu dan kegagalan pembangkang menyelesaikan masalah dalaman parti mereka.

"Cukuplah dengan helah pembangkang," katanya dalam satu kenyataan, lewat petang semalam.

Semalam, Mohd Najib berkata, BN berkemungkinan tidak akan meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil DUN Penanti jika mendapat konsensus semua parti komponen BN.

Jumaat lalu, Mohd Najib juga berkata, terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang sebenarnya tidak perlu diadakan dan menekankan ia sepatutnya hanya diadakan apabila seseorang wakil rakyat itu meninggal dunia.

Kerusi DUN Penanti yang berada di bawah Parlimen Permatang Pauh kini kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Fairus Khairuddin atas alasan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah.

Beliau juga telah meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 dan Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri berkuat kuasa 8 April lalu.

Artikel Lain