suria

Penanti: BN wajar 'pulau'?

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) wajar tidak meletakkan calon untuk bertanding bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti jika berpegang kepada prinsip tidak mahu mengikut rentak agenda politik Pakatan Rakyat termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, tindakan kemungkinan BN tidak meletakkan calon menunjukkan rasa putus asa dan kekecewaan terhadap PKR yang hanya mempermainkan proses demokrasi dalam negara sekaligus cuba mengheret rakyat dalam agenda politik mereka.

"Pilihan raya kecil ini bukan agenda negara. Ini agenda PKR dan agenda ini langsung tidak menyumbangkan apa-apa kepada agenda negara.

"Jika BN tidak mahu meletakkan calon, ia sememangnya wajar jika memikirkan kenapa mereka perlu bertungkus-lumus untuk menjayakan agenda PKR yang hanya memikirkan kepentingan politik mereka tanpa mempedulikan rakyat dan wang begitu banyak akan dibazirkan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata berkemungkinan BN tidak akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil DUN Penanti jika mendapat konsensus semua parti komponennya.

Kerusi DUN Penanti yang berada dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh kini kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin atas alasan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pascasiswazah.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, pilihan raya kecil itu sengaja mahu diadakan oleh PKR dan Pakatan Rakyat bagi menunjukkan keangkuhan mereka yang sejak Ogos lalu telah memenangi empat pilihan raya kecil iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang serta DUN Selambau.

Katanya, pilihan raya kecil ini juga merupakan sebahagian daripada siri pukulan politik PKR kepada BN untuk mewujudkan perang psikologi di kalangan rakyat bahawa BN kononnya ditolak dan tidak lagi diterima rakyat.

"Mereka gunakan cara ini untuk mempermainkan rakyat.

"BN dan Umno kini sedang dalam proses pemulihan dan Anwar tidak benarkan itu berlaku," katanya.

Sementara itu, pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman turut bersetuju jika BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti itu.

"Saya merasakan tindakan tidak mahu bertanding itu wajar dan ia mungkin diambil sama ada kerana tidak mahu menghabiskan banyak wang untuk satu tujuan yang tidak perlu atau mahu mengekalkan integritinya yang telah beberapa kali kalah pada pilihan raya kecil sebelum ini.

"Peluang BN untuk menang memang tipis kepada itu adalah kubu kuat PKR. Semua penyokong mereka ada di situ," katanya.

Selain itu, kata beliau, mungkin juga BN tidak mahu meletakkan calon kerana sememangnya pilihan raya itu nanti akan melibatkan banyak belanja.

"Rakyat pula dipermain-mainkan secara secara sengaja kerana pilihan raya ini diadakan kerana ADUN itu sengaja meletak jawatan, bukan kerana meninggal dunia atau hilang kelayakan," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr. Ghazali Mahyuddin juga berpendapat bahawa tindakan BN tidak meletakkan calon di Penanti merupakan sesuatu yang wajar memandangkan kawasannya itu sememangnya kubu kuat PKR.

"Memang besar kemungkinan, BN akan kalah di kawasan itu... jadi lebih baik mereka tidak meletakkan calon di situ.

"Saya rasa kalau ini menjadi kebiasaan bagus juga di mana kalau tempat itu kubu kuat pembangkang, BN tidak payah bertanding dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Bagaimanapun pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Zaini Othman menyifatkan kenyataan bahawa BN kemungkinan tidak akan bertanding adalah tidak wajar dan agak mengejutkan.

"Kalau prinsip demokrasi yang kita tekankan, tindakan BN tidak meletakkan calon merupakan sesuatu yang tidak wajar kerana kita perlu memikirkan kepentingan penduduk di DUN Penanti," katanya.

Beliau berkata, pilihan raya kecil itu merupakan gelanggang untuk Perdana Menteri menguji penerimaan rakyat terhadap Kabinet rakyat dan kerajaan rakyat yang dibawanya selepas mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Katanya, BN tidak perlu memikirkan pilihan raya itu sebagai salah satu helah pembangkang, sebaliknya berusaha untuk menarik kembali sokongan rakyat di kubu kuat PKR itu.

Soal peletakan jawatan ADUN kawasan itu adalah masalah dalaman pembangkang, kata beliau sambil menambah, "lupakan rentak yang dimainkan pembangkang kerana bukankah ini masanya BN meraih semula sokongan penduduk."

"Apa yang penting, kepentingan rakyat perlu didahului serta dijaga dan itu mengatasi perkara-perkara lain," jelas beliau.

Artikel Lain