suria

Najib ingatkan pemimpin jangan hanya kejar jawatan

KUANTAN: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) agar mengubah minda supaya tidak hanya mementingkan jawatan dan kuasa, sebaliknya peka dengan persekitaran dan pemikiran rakyat pada masa ini.

"Jangan kita ralit dengan proses dalam parti kita, jangan kita utamakan hanya hendak jawatan, kempen beri-aia siang malam, tapi masa pilihan raya K.O," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, BN perlu bangkit untuk menunjukkan kemampuan sebenar sebelum diadili oleh suara rakyat pada pilihan raya akan datang.

dalam ucapan pada majlis Sambutan Meraikan Perdana Menteri di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 40,000 orang.

Ini merupakan kepulangan pertama anak kelahiran Kuala Lipis itu ke negeri Pahang selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada 3 April lalu. Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany.

Mengenai konsep "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan", beliau berkata, bukan sekadar satu slogan sebaliknya merupakan kesinambungan konsep daripada dua kepimpinan terdahulu dalam membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Perdana Menteri berkata, konsep berkenaan adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Bagaimana proses nak sampai kepada matlamat kita, nak sampai pada destinasi, maka tidak lain dan tidak bukan ialah 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan.

"Insya-Allah, kalau berpegang pada konsep ini, kita akan menjadi negara maju, kita akan jadi cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya Najib berkata, bersandarkan konsep itu, tumpuan kepada pembangunan dalam menjadi sebuah negara maju akan diseimbangkan dengan keperluan rakyat tanpa mengira kaum.

Beliau bagaimanapun berkata, untuk menjayakan misi itu, rakyat segenap lapisan perlu mengubah minda supaya tidak terkongkong dengan cara pemikiran lama.

Katanya, 1Malaysia akan berjaya jika rakyat saling bantu-membantu tanpa mempersoalkan status kaum masing-masing.

Artikel Berikut

Artikel Lain