suria

Tengku Putera sedia jadi orang tengah selesai isu kepimpinan Terengganu

PETALING JAYA: Badan Perhubungan Umno Terengganu akan memainkan peranan untuk mengadakan rundingan berhubung soal kepimpinan bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda parti itu sejak akhir-akhir ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, beliau sedia menjadi orang tengah antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh untuk berbincang mengenai keadaan politik semasa.

"Kita akan mainkan peranan untuk satukan mereka, saya sendiri sanggup menjadi orang tengah bagi memastikan kedua-dua pemimpin tersebut duduk semeja untuk berunding.

"Rundingan dan perbincangan ini penting untuk kepentingan parti dan kepimpinan negeri," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Kata beliau, Umno Terengganu juga sudah merangka beberapa pertemuan bersama pemimpin peringkat akar umbi bagi menjelaskan mengenai perkara sebenar bagi menjelaskan mengenai kedudukan sebenar politik di negeri itu.

"Dalam keadaan sekarang Umno negeri akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin akar umbi bagi menjelaskan mengenai apa yang berlaku.

"Kita tak mahu pemimpin bawahan dan semua ahli keliru dengan apa yang terjadi, maklumat yang mereka dapat dari media mungkin ada yang tidak tepat atau sekadar spekulasi, jadi kita akan jelaskan dengan sebaik mungkin," katanya.

Kemelut politik di Terengganu kian memuncak apabila 10 ADUN Barisan Nasional (BN) gagal hadir pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu selepas tiga daripada mereka menerima mesej ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada malam sebelumnya.

Mereka yang menerima SMS itu ialah ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid; Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka).

Turut sama mengikuti langkah tiga ADUN itu ialah Muhammad Ramli Nuh (Tepoh); Mohd. Zawawi Ismail (Kuala Berang); Datuk Din Adam (Bukit Besi); Alias Abdullah (Alor Limbat); Ramlan Ali (Jabi); Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd. Pehimi Yusof (Kota Putera).

Selain itu Tengku Putera berkata, Umno Terengganu juga berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan salah faham yang wujud.

"Kita percaya Perdana Menteri dan timbalannya boleh memainkan peranan untuk satukan kembali Umno Terengganu.

"Kita sedar yang kita sebenarnya tidak boleh berpecah... takut nanti ada pihak lain ambil kesempatan terhadap apa yang berlaku.

"Kita akan pastikan agenda untuk perkuatkan parti menjadi matlamat dan sasaran untuk kepentingan Umno dan BN," katanya.

Ditanya sama ada Umno Terengganu akan terus menyokong penuh kepimpinan Ahmad sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, beliau berkata perkara yang lebih penting ialah soal perpaduan parti.

"Bukan soal sokong atau tidak, sebaliknya kita harus sedar perpaduan dalam parti perlu menjadi keutamaan.

"Masa sekarang kita perlu rapatkan kembali dan eratkan semula hubungan antara semua pemimpin dan ahli untuk pastikan masa depan Umno terus kekal relevan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain