suria

Speaker sah terima surat asal, Najib sifatkan keputusan politik

PETALING JAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Abdul Halim Hussin mengesahkan telah menerima salinan asal surat peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti, semalam.

Abdul Halim bagaimanapun masih enggan mendedahkan daripada siapa surat tersebut diterima.

"Apa yang penting, kita menerima surat tersebut.

"Awalnya kita menerima salinan faks dan kemudian salinan asal mengenai peletakan jawatan Fairus," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Beliau juga turut enggan mendedahkan masa sebenar salinan surat asal tersebut diterima.

Abdul Halim berkata, beliau akan mengadakan sidang media di pejabatnya lewat petang ini berhubung perkara itu.

Ditanya bila beliau akan menghubungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN tersebut, Abdul Halim berkata, beliau akan berbuat demikian secepat mungkin.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyifatkan peletakan jawatan Mohammad Fairus sebagai satu mainan politik untuk tujuan-tujuan tertentu.

Katanya, keputusan yang dibuat itu adalah satu keputusan politik.

"Terlalu banyak masa, tenaga, wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang tidak perlu sebenarnya," katanya dalam satu sidang media di Klang, hari ini.

Semalam, Mohammad Fairus, 32, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ADUN Penanti berkuatkuasa serta merta atas alasan ingin memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

Mohammad Fairus telah meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri berkuat kuasa 8 April lalu.

Kata beliau, tindakannya itu dibuat setelah mengambil kira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang beliau wakili serta demi memelihara kepentingan PKR.

Mohammad Fairus memenangi kerusi DUN Penanti pada pilihan raya umum 8 Mac lalu dengan majoriti 2,219 undi selepas memperoleh 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain