suria

Sikap keterlaluan rugikan negara - Najib

KLANG: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata sikap keterlaluan yang diamalkan oleh sesetengah pihak boleh merugikan negara.

Menurut beliau, konsep 1 Malaysia yang diperkenalkannya sejak dilantik menjadi Perdana Menteri jelas untuk memastikan nasib semua pihak sentiasa terbela.

Tambah beliau, setiap individu ataupun mana-mana pihak mestilah sentiasa mengamalkan sikap sederhana.

"Islam adalah agama yang menggalakkan pemikiran dan amalan sederhana.

"Kita tidak boleh bersifat perkauman dan kita tidak boleh berfikir secara keterlaluan," katanya di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas soalan wartawan mengenai artikel yang disiarkan oleh sebuah akhbar bahasa Melayu tempatan yang bertajuk 'Bangkitlah Melayu', sama ada ia bertentangan dengan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkannya ataupun tidak.

Kandungan artikel itu antara lain mengajak orang Melayu bangkit mempertahankan hak mereka.

Bagaimanapun kata beliau lagi, perkara tersebut terpulang kepada tafsiran setiap individu.

"Saya tidak bercakap dari segi akhbar itu sahaja, tapi pada umumnya saya tidak mahu sikap keterlaluan dalam negara kita.

"Tidak kiralah keterlaluan itu dilakukan oleh mana-mana pihakpun," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain