suria

Polis cari 8 lelaki bantu siasatan kes bunuh

KUALA SELANGOR: Polis sedang mengesan lapan lelaki rakyat Indonesia yang dipercayai boleh membantu siasatan kes bunuh seorang penolong pengurus ladang kelapa sawit yang diserang dua lelaki bersenjatakan parang dan kayu di Ladang Bukit Cloh, Jeram di sini, dua minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, mereka terdiri daripada Nasri, 33, yang berasal dari Montong Betok, Indonesia, Sukri, 28, (Talun, Indonesia), Mustamin, 37, (Mare, Indonesia), Sahabudin, 26, (Montong Betok), Mahrup, 37, (Danger, Indonesia), Nasrudin, 24, (Montong Betok), Subhan, 35, (Lombok Timur, Indonesia), dan Mustiadi, 24, (Gelogor, Indonesia).

"Kesemua mereka pernah bertugas di ladang itu dan telah ditamatkan kontrak. Kita percaya mungkin ada masalah yang berlaku (punca kejadian) dan diharap mereka datang untuk bantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengurus dan penolong pengurus ladang milik Sime Darby di seluruh Selangor, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, mangsa, Abdul Razak Ani, 39, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di ladang tersebut dengan menunggang motosikal sebelum diserang.

Mangsa yang berasal dari Kampung Gerisik di Muar, Johor meninggal dunia di Klinik Kesihatan Jeram akibat cedera parah selepas dipercayai bergelut dengan dua penyerangnya.

Dalam perkembangan lain, polis turut mencari seorang lelaki yang dikenali sebagai Sia Pang Liong, 33, beralamat di Lot 1573, Jalan Sekama, Kuching, Sarawak bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kereta di ladang kelapa sawit di Kampung Batu 8, Ijok, di sini, Selasa lepas.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mayat Choo Boon Kien, 42, yang berasal dari Taman Cheras, Kuala Lumpur, ditemui dalam kereta jenis Proton Waja milik kenalan wanitanya yang ditinggalkan oleh dua lelaki tidak dikenali.

Mangsa dipercayai mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan enam kes samun dan dadah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain