suria

Pilihan raya Penanti peluang PKR cari calon TKM 1

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil negeri yang bakal diadakan di Penanti, Pulau Pinang sematamata untuk mencari calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Menteri I.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, kenyataan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan calon bagi mengantikan Mohammad Fairus Khairuddin hanya omongan kosong kerana sehingga sekarang tiada sebarang pengumuman dibuat.

"Saya melihat perkara ini dilakukan untuk menyusahkan dan membazirkan wang rakyat kerana kita mesti ingat setiap kali pilihan raya, banyak perbelanjaan yang diperlukan," katanya kepada Bernama di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Mohammad Fairus, 32, sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkuat kuasa semalam.

ADUN PKR itu dalam kenyataan empat perenggan yang dihantar melalui emel kepada Bernama hari ini berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pasca siswazah dan sekali gus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

Awang Adek berkata, permainan PKR itu bukan sahaja menyusahkan rakyat malah dilihat bertujuan untuk memesongkan perhatian kerajaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Bila dah pilihan raya, jadi semua badan kerajaan dan badan keselamatan tertumpu di sana. Ia untuk menarik kita atau memesongkan kita daripada berkhidmat untuk rakyat kerana kita akan sibuk dengan pilihan raya sahaja," katanya.

Seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr. Mohd Puad Zarkashi berpendapat PKR adalah parti yang mengamalkan dasar pilih kasih.

Katanya, mengikut pengamatannya dalam kes ADUN Bukit Lanjan, Selangor Elizabeth Wong, beliau telah dipujuk dan diberikan cuti, namun keistimewaan yang sama tidak diberikan kepada Mohammad Fairus.

Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan pula berpendapat pilihan raya kecil yang bakal diadakan itu menunjukkan PKR mahu dilihat sebagai sebuah parti yang relevan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain