suria

Penanti: SPR belum terima notis kekosongan daripada Speaker

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat pagi ini belum dimaklumkan tentang kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang, Mohd. Faiz Syazwan Zainal Abidin ketika dihubungi berkata, setakat 10.45 pagi tadi pihaknya belum menerima apa-apa makluman mengenai keputusan Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan.

"Kami belum menerima apa-apa notis daripada Speaker... belum lagi," kata beliau.

Fairus yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang semalam mengumumkan yang beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Ia berkuat kuasa semalam juga.

ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR)itu, dalam kenyataan empat perenggan yang dihantar melalui emel kepada Bernama berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

Fairus, 32, telah meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri berkuat kuasa 8 April lalu.

Kata beliau, tindakannya itu dibuat setelah mengambil kira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang beliau wakili serta demi memelihara kepentingan PKR.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain