suria

Pegawai imigresen ditahan disyaki terima rasuah

PULAU PINANG: Seorang pegawai imigresen dan 18 lain ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini hari ini selepas disyaki menerima suapan bagi membenarkan pendatang tanpa izin meninggalkan negara ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pegawai yang berpusat di lapangan terbang Bayan Lepas itu selepas menerima maklumat awam serta maklumat unit perisikan SPRM.

Pengarah SPRM Negeri Latifah Md Yatim berkata, dalam operasi khas itu, SPRM juga menahan tiga orang tengah dan 15 warga Bangladesh di bilik menunggu untuk menaiki penerbangan pada pukul 7 pagi tadi.

Beliau memberitahu pemberita di sini bahawa 15 warga Bangladesh itu berusia antara 20 dan 40 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan.

"Pegawai perisikan kami sedang memantau aktiviti itu sejak dua bulan lepas dan berjaya melakukan tangkapan hari ini.

"Warga Bangladesh itu sedang menunggu untuk menaiki pesawat ke Bangkok bagi menyambung penerbangan ke negara asal," katanya.

Katanya, tiga orang tengah, dipercayai ejen berusia di bawah 50 tahun, dan pegawai imigresen itu ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009.

Difahamkan pendatang tanpa izin itu membayar kira-kira RM2,000 setiap seorang kepada pegawai Imigresen berkenaan bagi membolehkan mereka meninggalkan negara tanpa dokumen sah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain