suria

Kerajaan mahu penyelesaian komprehensif isu tol - Najib

KLANG: Kerajaan telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) supaya mencari satu penyelesaian yang komprehensif untuk menangani isu kenaikan tol yang perlu dilakukan setiap tiga tahun sekali, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Ini memang selari dengan apa yang saya arahkan kepada EPU supaya mencadangkan kepada kerajaan satu penyelesaian untuk menangani masalah tol ini yang merupakan satu bebanan kepada rakyat dan kerajaan," kata beliau.

Ketika ditanya sama ada pembelian balik PLUS Expressways Bhd merupakan salah satu pilihan, beliau berkata: "Kita melihat segala pilihan (tetapi) terlalu awal bagi saya untuk menyatakan apakah yang mungkin dilakukan oleh kerajaan."

Najib berkata, kerajaan menyedari satu penyelesaian yang komprehensif perlu dilakukan terhadap isu tol ini kerana ia merupakan satu perkara yang amat tidak disukai oleh rakyat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke63 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia di sini.

Mengenai isu tenaga, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan dari masa ke masa akan mengkaji semula tarif elektrik serta harga gas asli dengan mengambil kira keseimbangan kepentingan semua pihak yang terlibat, sama ada pengguna atau penyedia tenaga.

"Ia perlu diambil kira secara holistik dan menimbangkan kedudukan Tenaga Nasional Bhd, industri serta dari segi kemampuan negara, rizab minyak dan gas yang kita ada," katanya.

Ditanya mengenai semakan semula yang berikutnya, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak tahu lagi tetapi saya akan mengkaji perkara itu dahulu." BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain