suria

Permohonan tiga pemimpin Hindraf ditolak

PUTRAJAYA: Tiga pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) akan terus ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun apabila Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak cubaan kedua mereka untuk mendapatkan perintah pembebasan.

Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, yang mendengar rayuan mereka bersama hakim Datuk Seri S.Augustine Paul dan Datuk Hashim Yusoff, berkata asas penghakiman sebulat suara itu akan diumumkan kemudian.

Tiga tahanan itu ialah M. Manoharan, 48, P.Uthayakumar, 47, dan K. Vasantha Kumar, 36.

Mahkamah itu juga menolak rayuan dua lagi pemimpin pertubuhan haram berkenaan selepas peguam yang mewakili mereka Karpal Singh memohon menarik balik rayuan kerana mereka telah dibebaskan daripada ditahan mengikut ISA.

Peguam R. Kengadharan, 42, dan V.Ganabatirau, 36, adalah antara 13 tahanan ISA yang dibebaskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 5 April.

Kelima-lima mereka mengemukakan rayuan bagi kali kedua di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei tahun lepas setelah permohonan serupa ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Persekutuan.

Mereka dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di Pusat Tahanan Kamunting di Taiping, Perak pada 13 Disember 2007 kerana didakwa terlibat menganjurkan tunjuk perasaan jalanan di Kuala Lumpur pada 25 November 2007 dan mengeluarkan katakata kesat terhadap kerajaan.

Permohonan pertama mereka bagi mendapatkan pembebasan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Disember 2007, ditolak mahkamah berkenaan.

Dalam permohonan habeas corpus secara bersama bagi kali kedua, kelimalima tahanan terbabit mencabar perintah Yang diPertuan Agong yang mengesahkan syor Lembaga Penasihat ISA agar penahanan mereka dilanjutkan pada dan selepas 26 Mac tahun lepas, dengan alasan lembaga itu tidak mematuhi prosedur.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah berkenan, Karpal Singh berkata beliau akan memfailkan permohonan semakan semula penghakiman berhubung keputusan mahkamah hari ini.

Kata beliau mahkamah itu sepatutnya memberi alasan tentang penghakiman berkenaan hari ini juga kerana ia mempunyai banyak masa bagi menyediakannya, memandangkan prosiding sebelum ini diadakan pada 11 Mac.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Uthayakumar gagal dalam cubaan kali keempatnya untuk dibebaskan daripada ditahan mengikut ISA apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpusnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah, ketika membenarkan bantahan awal timbalan pendakwa raya Najib Zakaria, berkata permohonan itu dibuat berdasarkan alasan perubatan yang sama, yang telah ditolak oleh sebuah Mahkamah Tinggi lain dalam permohonan habeas corpus oleh Uthayakumar sebelum ini.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan Najib dan peguam S.Y.Chew, yang mewakili Uthayakumar.

Terdahulu, Najib memberitahu mahkamah bahawa permohonan Uthayakumar bagi mendapatkan writ habeas corpus tidak dibuat dengan niat baik dan bukan merupakan cara penyelesaian sewajarnya bagi Uthayakumar untuk mendapatkan pembebasannya daripada ditahan mengikut ISA untuk membolehkannya mendapat rawatan perubatan bagi kecederaan kaki yang didakwa dialaminya.

"Saya terperanjat apabila mengetahui bahawa sejak dia ditahan pada Disember 2007, pemohon tidak pernah membuat permohonan untuk membenarkan doktor swasta pilihannya, datang memberi rawatan. Sebaliknya, dia memohon habeas corpus (bagi mendapatkan rawatan perubatan)," kata Najib dalam bantahan awalnya.

Najib berkata Uthayakumar tidak boleh menggunakan isu yang sama berkaitan rawatan perubatan kerana ia telah digunakan dalam permohonannya sebelum ini, yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Sept tahun lepas.

Dalam penghujahan balasnya, Chew berkata permohonan itu dibuat berdasarkan keadaan berbeza dan tiada penghakiman dibuat tentang alasan itu oleh Mahkamah Tinggi sebleum ini.

Beliau juga meminta mahkamah melihat dari sudut berbeza dan mengubah set mindanya tentang urusan berkaitan habeas corpus.

"Mengikut tradisi dan pada masa lepas, mahkamah menentukan sah atau tidak sesuatu tindakan penahanan, iaitu sama ada kerajaan mempunyai alasan munasabah untuk memerintahkan seseorang itu ditahan demi kepentingan keselamatan orang ramai.

"Habeas corpus juga bererti membebaskan seseorang individu daripada dinafikan kebebasannya. Uthayakumar mempunyai hak terhadap kehidupannya. Dalam kes ini, dia dinafikan rawatan perubatan, yang boleh mengancam nyawanya," kata beliau.

Pada 27 Mac lepas, Uthayakumar memfailkan permohonan habeas corpusnya bagi kali keempat di Mahkamah Tinggi di sini dengan memberi alasan dia memerlukan rawatan segera untuk kakinya yang bengkak, menjadi hitam dan amat sakit.

Pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri dan penguasa Pusat Tahanan Kamunting sebagai responden. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain