suria

Pemimpin Umno Terengganu dinasihat tangani isu di peringkat dalaman

BENTONG: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihati pemimpin Umno Terengganu menangani segala isu yang timbul di peringkat dalaman sebelum pemimpin peringkat pusat "turun" menyelesaikannya.

"Kalau mereka tidak selesaikan di peringkat negeri dan bahagian, suka tidak suka kita di peringkat pusat terpaksa turun dan membetulkannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Latihan Ketenteraman Awam (Pulka) di Pelangai dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak menghadiri sidang DUN dipercayai berikutan tiga daripada mereka menerima ugutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Hishammuddin berkata pemimpin negeri itu tidak seharusnya dibelenggu dengan isuisu dalaman sebaliknya menumpukan kepada usaha menguatkan parti.

"Mereka yang masih dibelenggu dengan isuisu dalaman sesama mereka, saya rasa berhentilah, sekarang masanya kita mengukuhkan parti, mendekatkan parti dengan rakyat dan meraih sokongan," katanya.

Ditanya sama ada polis telah mengenalpasti penghantar SMS tersebut, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia masih dalam siasatan.

Bagaimanapun katanya, polis memberi jaminan tentang keselamatan ADUN itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain