suria

MB Terengganu sah jumpa PM

PETALING JAYA: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said hari ini mengesahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin di Putrajaya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai isu yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

"Tiada komen, kalau nak tahu lebih baik kamu tanya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada mStar Online hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata pertemuan tersebut berlangsung hampir satu jam.

Jelasnya, beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tanpa kehadiran bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

"Saya jumpa dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada pukul 12.30 tengah hari. Apa yang saya tahu dia (Idris Jusoh) jumpa PM sebelum itu pada pukul 10 pagi," katanya.

Mereka dipercayai menemui Najib berhubung isu kepimpinan termasuk soal SMS ugutan bunuh yang diterima oleh tiga Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) kelmarin.

Sepuluh ADUN Barisan Nasional (BN) tidak hadir pada hari kedua sidang DUN Terengganu kerana mendakwa keselamatan mereka terancam.

Ini berikutan ugutan bunuh yang diterima tiga ADUN BN menerusi khidmat pesanan ringkas kelmarin iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Ariffin (Paka), dipercayai mempunyai kaitan dengan usul tidak percaya terhadap Ahmad, yang dikatakan akan dibentangkan pada sidang DUN itu.

Selain Rosol, Abd Halim dan Zakaria, tujuh ADUN lain yang tidak hadir ialah Datuk Din Adam (Bukit Besi); Alias Abdullah (Alor Limbat); Zawawi Ismail (Kuala Berang); Ramlan Ali (Jabi); Muhammad Ramli Nuh (Tepuh); Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera) dan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih).

Rosol mendakwa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih); Rosli Othman (Kemasik) dan Nawi Mohamed (Hulu Besut) turut menyokong tindakan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain