suria

Elizabeth Wong kembali bertugas, Helmi masih gagal dikesan

KUALA LUMPUR: Selepas dua bulan bercuti sejak kes penyebaran gambar separuh bogelnya, Elizabeth Wong iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan yang juga Exco Kerajaan Selangor, kembali semula bertugas hari ini, namun penyebar sebenar gambarnya itu masih belum dikesan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata bekas teman lelaki Wong, Helmi Malek, 32, yang dikaitkan dengan penyebaran gambar tersebut belum dapat dijejaki.

"Dia belum balik tapi kita percaya dia pasti pulang ke Malaysia. Waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan dan kawalan keselamatan juga telah dilakukan di semua pintu masuk negara bagi menahannya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 25 Mac lepas terhadap Helmi telah diedarkan kepada semua pihak berkuasa yang mengawal pintu masuk negara bagi menahannya.

Helmi yang menghilangkan diri sejak 9 Feb lepas setelah dikaitkan dengan penyebaran gambar dan klip video Wong di internet, difahamkan kini berada di Batam, Indonesia.

Pada 15 Feb lepas, Wong, 37, membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan dua hari selepas itu Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Adun dan anggota Exco Selangor sebelum diberi cuti rehat oleh kerajaan negeri.

Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan untuk menawarkan semula kedua-dua jawatan tersebut kepada Wong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain