suria

Rakyat perlu kikis mentaliti etnik - Najib

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu mengikis sikap memandang sesuatu perkara melalui lensa mentaliti etnik atau 'ethnic silos' masing-masing, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu bersama-sama berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia di bawah konsep 1 Malaysia.

"Marilah kita keluar daripada beroperasi dalam prisma etnik seperti yang pernah kita lakukan selama ini. Itu juga maksud konsep "1 Malaysia.

"Kita mesti menghormati satu sama lain, melepasi batas toleransi dan memupuk kepercayaan satu sama lain selain menyemai sikap saling percaya dalam kalangan kumpulan etnik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) misalnya tidak semestinya melakukan perkhidmatan di lokasi berdasarkan etnik kaum masing-masing.

Najib berkata sebagai contoh, apabila beliau mengumumkan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta pada 3 April selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri yang baru, MIC sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana membebaskan kesemua 13 tahanan ISA itu dan bukan hanya menyentuh mengenai dua anggota Hindraf yang dibebaskan.

"Kalaulah kita bebaskan dua anggota Hindraf, jangan lupa ada 11 lagi. Jangan hanya memikirkan Hindraf saja," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau telah menjelaskan konsep "1 Malaysia" pada mesyuarat pertama jemaah menteri pada pagi ini di Putrajaya, dan mengingatkan kalangan menteri supaya tidak hanya memberi perhatian kepada komuniti mereka sendiri sahaja di samping meminta mereka supaya memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi.

"Saya menggariskan empat perkara iaitu integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan. "Kabinet perlu merupakan sebuah Kabinet yang berteraskan Kabinet Rakyat atau yang dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," katanya.

Beliau berkata di samping itu, jemaah menteri perlu melakukan perubahan dan pembaharuan serta memenuhi kehendak semula lapisan etnik menerusi dialog yang berterusan.

"Kita tak boleh anggap kerajaan mengetahui segala-galanya. Kita perlu buka pintu kepada dialog dengan pelbagai kumpulan supaya keputusan yang dibuat kerajaan nanti yang merupakan benar-benar bersandarkan kehendak rakyat," katanya.

Najib juga mengingatkan anggota jemaah menteri supaya tidak dianggap sebagai kerajaan yang memihak kepada kumpulan tertentu atau mana-mana badan korporat, walaupun amat penting untuk melaksanakan dasar yang mesra kepada sektor swasta.

"Tetapi pokok pangkalnya mesti ambil apa-apa keputusan bersandarkan kepentingan rakyat keseluruhannya," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata di bawah konsep "1 Malaysia", perjuangan membasmi kemiskinan perlu dilihat merangkumi kemiskinan yang merentasi semua kaum sama ada di bandar, luar bandar, estet, kampung baru dan orang Asli.

"(1-Malaysia) bukan bermakna mengetepikan dasar untuk menolong Bumiputera, malah dasar perlu dilaksanakan dengan cara adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan," katanya.

Selain itu, beliau juga berkata konsep 1 Malaysia tidak boleh disalahertikan oleh pihak tertentu, umpamanya pembangkang yang mengatakan konsep itu sama dengan Malaysian Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain