suria

Penghantar surat dihukum gantung kerana bunuh isteri

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat hari ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah membunuh isterinya empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu ke atas Herman Aliseman, 32, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Herman, dari Sarawak, didakwa melakukan kesalahan itu dengan menikam Noor Azura Abdul Aziz, 28, di kaki tangga rumah No. 5711, Jalan 8/40, Taman Pusat Kepong, Jinjang, di sini di antara pukul 10.30 malam hingga 11.15 malam, 12 Jun 2005.

Herman yang berada di dalam kandang tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila hukuman itu dibacakan oleh hakim.

Menurut keterangan beberapa saksi semasa perbicaraan kes itu, ketika kejadian berlaku, tertuduh dan isterinya dalam proses penceraian dan tikaman yang dilakukan itu telah menembusi buah pinggang mangsa serta kecederaan teruk di leher.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan telah memanggil 21 orang saksi manakala di peringkat pembelaan hanya Herman yang memberi keterangan di dalam kandang tertuduh.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yaacub Chik dan Herman diwakili peguam Mejar(B) Ghazali Nik Taib. BERNAMA

Artikel Lain