suria

Kajian PPSMI siap untuk ke Kabinet - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah siap dan sedia untuk dibentangkan ke Kabinet.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata, Kementerian Pelajaran bagaimanapun perlu menunggu maklumat balas dan ulasan daripada semua kementerian yang terlibat.

"Sementara itu, saya tak mahu buat apa-apa kenyataan mengenai apa keputusan sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada pegawai-pegawai kanan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menerima nota serah tugas daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kini Menteri Dalam Negeri.

Muhyiddin berkata beliau belum melihat hasil kajian itu dan sedang menunggu untuk diberikan taklimat.

Beliau juga meminta pegawai kementerian mengikut contoh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang tanpa banyak protokol dan berjumpa dengan kumpulan sasar seperti guru, pelajar dan ibu bapa.

Katanya, pendekatan untuk berjumpa rakyat adalah penting kerana Kementerian Pelajaran mempunyai kelompok yang berkepentingan amat ramai sekali iaitu lebih 500,000 kakitangan dan 5.4 juta pelajar.

"Turun bawah bagi meneliti apa isu dan masalah dan mana yang boleh diselesaikan dengan cepat di peringkat bawah, maka eloklah dibuat keputusan," katanya.

Muhyiddin melahirkan penghargaan kepada Hishammuddin yang telah memimpin kementerian itu lebih lima tahun dan telah meletakkan asas yang lebih kukuh kepada dasar pendidikan di negara ini dan beliau berharap dapat meneruskan kerja yang cemerlang itu.

Terdahulu, pada sidang akhbar berasingan, Hishammuddin berkata, pelantikan Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Pelajaran menunjukkan penekanan pucuk pimpinan terhadap pembangunan modal insan dan keutamaan yang diberikan kepada pendidikan. BERNAMA

Artikel Lain