suria

ADUN boikot: Jangan sampai jejas kedudukan BN, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan 10 Ahli Dewan Undangan Terengganu daripada Barisan Nasional untuk tidak menghadiri persidangan dewan itu hari ini diharap tidak akan menjejaskan kedudukan BN sebagai kerajaan di negeri berkenaan.

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah, semua pihak perlu bekerja dan sebarang rasa tidak puas hati yang boleh menjejaskan kedudukan BN, perlu diselesaikan.

Mengulas tindakan yang dianggap "luar biasa" itu, Muhyiddin berkata, beliau akan mendapatkan laporan mengenainya dan menemui Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berhubung perkara itu.

Mereka yang tidak hadir hari ini ialah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Tindakan mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh ADUN Permaisuri, Paka dan Ajil malam tadi berhubung kemelut politik di negeri itu.

Isu itu dipercayai berlaku selepas Menteri Besar membuat kenyataan untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat ADUN BN, jika mereka membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau.

Muhyiddin berkata, kesemua wakil rakyat itu berhak membuat keputusan sama ada untuk hadir atau tidak.

"Tapi jangan sampai menjejaskan kedudukan BN di dalam DUN. Kita adalah kerajaan di negeri Terengganu," katanya.

Muhyiddin berkata, perkembangan itu ada sesuatu yang membimbangkan beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami tak mahu melihat masalah menjadi tidak terkawal di sana. Tindakan mestilah diambil untuk menyelesaikan isu itu, biar apapun isunya.

"Jadi saya akan dapatkan laporan terkini dan membuat keputusan," katanya.

Ketika ditanya sama kerajaan pusat berpuas hati dengan prestasi Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin berkata: "Beliau adalah MB dan menjalankan tugas seperti yang dikehendaki. Mungkin ada isu dan masalah lain."

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, sebelum itu menerima nota serah tugas daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kini Menteri Dalam Negeri. BERNAMA

Artikel Lain