suria

Umno, BN perlu pikat pengundi bukan Melayu dan muda

PETALING JAYA: Keputusan tiga pilihan raya kecil serentak yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal menawan balik Bukit Gantang dan Bukit Selambau memberi isyarat tegas bahawa Umno dan BN perlu memikat kembali pengundi bukan Melayu dan atas pagar untuk kukuh dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurut pensyarah politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Nidzammuddin, perkara tersebut dapat dilihat melalui konteks kemenangan PAS dan PKR masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang jelas memperlihatkan sokongan pengundi-pengundi muda terhadap pembangkang secara berterusan.

"Namun, pada masa ini ia tidak boleh dianggap sebagai referendum rakyat kerana tidak melibatkan pilihan raya di seluruh negara," katanya kepada mStar online.

Jika dilihat mengikut trend semasa, katanya, golongan muda ini mengutamakan persoalan mengenai ketelusan, akauntabiliti dan keterbukaan kerajaan yang memerintah.

"Jika mereka (kerajaan) tidak mengambil serius perkara-perkara sebegini saya risau rakyat terutamanya golongan muda ini akan menolak BN terus pada pilihan raya umum ke-13.

"Ini menyebabkan pembangkang mendapat 'political mileage' manakala BN dan Umno pula semakin tertekan untuk memenuhi citarasa pengundi muda ini," kata beliau sambil menambah, isu-isu yang bersifat objektif ini perlu diatasi dengan segara sebelum terlambat.

Ahmad mengakui isu krisis politik di Perak juga memberi kelebihan kepada pembangkang untuk memenangi pilihan raya kawasan tersebut.

"Boleh dikatakan di sini (Datuk Seri) Mohammad Nizar (Jamaluddin) turut mendapat undi simpati apabila isu krisis politik Perak dieksploitasi oleh pembangkang.

"Perasaan marah yang disebarkan oleh pembangkang menjadi sentimen kepada pengundi-pengundi untuk meluahkan kemarahan mereka dengan mengundi pihak pembangkang," katanya.

Selain itu, Ahmad menegaskan, Umno dan BN harus mengambil ikhtibar bila kritikan disuarakan oleh rakyat.

"Mereka (BN dan Umno) perlu belajar daripada kesilapan lalu. Mereka harus perbaiki kelemahan yang ada untuk terus menjadi relevan dan diterima oleh rakyat di negara ini," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Farouk pula melahirkan pandangan berbeza dalam isu tersebut.

Beliau menyifatkan keputusan pilihan raya kecil kali ini sebagai pengekalan status quo kerusi yang telah dimenangi oleh parti-parti yang bertanding pada pilihan raya umum ke-12.

"Keputusan terbaru ini bukan satu referendum rakyat kerana ia bukan pilihan raya yang melibatkan seluruh negara. Jika ia referendum kita kena ada pilihan raya umum," katanya.

Pada masa yang sama, Azeem turut menasihati semua pihak agar tidak terpengaruh dengan propaganda pihak pembangkang.

"Memang pengundi sudah buat keputusan... namun kita kena lihat apakah faktor yang mempengaruhi pengundian mereka.

"Bagi saya pengundi bukan Melayu dan pengundi atas pagar telah menjadi penentu kepada keputusan pilihan raya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang semalam.

"Golongan ini sepatutnya diberi perhatian yang lebih oleh Umno dan BN, namun mereka gagal. Golongan ini memilih parti yang akan kurang dihimpit isu bersifat provakatif.

"Mereka telah menjadi penentu kepada keputusan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.Pada masa yang sama BN harus ingat pembangkang akan mencari isu untuk mendedahkan lebih banyak kelemahan parti itu," katanya.

Jelas beliau, tanggapan bahawa kemasukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kurang memberi kesan agak sukar untuk ditafsirkan kerana ia masih terlalu awal.

"Mungkin kemasukan beliau (Tun Mahathir) dilihat tidak beri kesan... saya rasa ia mungkin tidak tepat kerana kita perlu lihat pada jangka masa panjang, mungkin Umno dan BN akan kembali kuat di bawah pimpinan Datuk Seri Najib siapa tahu?

"Dalam politik apa jua boleh berlaku, tiada yang mustahil. Cuma masa akan dapat menentukannya," katanya.

Tambah beliau, kegagalan BN di dua kerusi minggu lalu jelas memperlihatkan golongan muda dan kelas menengah terus menolak parti itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain