suria

Isu Kabinet: Muhyiddin minta MIC jangan bincang secara terbuka

ANTARA anggota Kabinet yang mengangkat sumpah Jumaat lalu (dari kiri): Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam (dari MIC), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (Menteri Kewangan II) dan Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) masing-masing melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia selepas menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. MIC dilaporkan tidak berpuas hati dengan peruntukan Kementerian Sumber Manusia.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menasihati MIC supaya tidak membincangkan sebarang rasa tidak puas hati berhubung peruntukan kerusi dalam Kabinet secara terbuka.

Sambil menegaskan ia sebagai hak Perdana Menteri untuk memutuskannya, Muhyiddin berkata, MIC seharusnya berbincang dengan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak jika parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak berpuas hati.

Beliau berkata, perkara seumpama itu tidak seharusnya dibincang secara terbuka kerana mereka perlu menghormati Perdana Menteri yang mempunyai kuasa memilih menteri.

"Jadi apa-apa perkara yang tak disenangi, eloklah jumpa dengan Perdana Menteri sendiri dan tak perlu buat kenyataan di luar.

"Kita harus beri peluang kepada jemaah menteri yang dipilih dan mereka juga sudah mengangkat sumpahpun untuk jalan tugas," katanya.

Jelas Muhyiddin, dalam BN semua pihak perlu menghormati bidang kuasa Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah tugas jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini pagi tadi.

Kementerian itu kini diketuai oleh Datuk Mustapa Mohamed.

Muhyiddin mengulas laporan bahawa MIC menimbangkan kemungkinan mengeluarkan keanggotaannya dalam Kabinet baru yang diumumkan Khamis lalu.

Parti komponen BN itu mahu berbuat demikian kerana tidak diberikan keutamaan yang seimbang dan signifikan dalam barisan jemaah menteri pimpinan Najib.

Pertimbangan untuk keluar Kabinet itu diputuskan Jumaat lalu iaitu pada hari yang sama jemaah menteri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Bilangan perwakilan MIC dalam Kabinet kekal dengan seorang menteri dan dua timbalan menteri sebagaimana diperuntukkan Mac 2008.

Setiausaha Agung Datuk Dr. S. Subramaniam dilantik Menteri Sumber Manusia; Bendahari Datuk S.K. Devamany sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan, Datuk M. Saravanan sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Pertimbangan keluar Kabinet itu dijangka dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC Khamis ini.

Mengenai pembaharuan dalam BN yang perlu dilaksanakan sebagaimana dilakukan oleh Umno, Muhyiddin berkata, beliau juga dimaklumkan parti-parti komponen sedang melaksanakan perkara yang sama untuk memperkukuhkan parti masing-masing.

"Saya kira (pembaharuan) sudah dimulakan tapi momentum itu belum dapat dilihat.

"Sebab itu saya katakan masih peringkat awal kerana kita baru saja menghadapi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

"Bila parti sudah kukuh, BN akan bertambah kukuh," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah dua Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Datuk Jacob Dungau Sagan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain